Tujuh pemain warisan Harimau Malaya tetap digantung 12 bulan – CAS

Tujuh pemain warisan Harimau Malaya tetap digantung 12 bulan – CAS
Tujuh pemain warisan Harimau Malaya tetap digantung 12 bulan – CAS

Panel CAS memutuskan bahawa tujuh pemain itu tetap dikenakan penggantungan selama 12 bulan, namun ia hanya terpakai untuk perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebahagiannya membenarkan rayuan tujuh pemain warisan Harimau Malaya terhadap Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung hukuman kerana memalsukan dokumen naturalisasi dan kelayakan.

Dalam keputusan operasi (tanpa alasan terperinci) yang dikeluarkan hari ini, Panel CAS memutuskan bahawa tujuh pemain itu tetap dikenakan penggantungan selama 12 bulan, namun ia hanya terpakai untuk perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.

“Setelah meneliti bukti yang dikemukakan, Panel CAS mendapati kesalahan memalsukan dokumen kelayakan telah terbukti dan penggantungan selama 12 bulan daripada perlawanan adalah hukuman yang wajar dan sepadan bagi para pemain, memandangkan mereka terlibat secara bersama dalam penipuan ini,” menurut kenyataan itu.

Tujuh pemain terbabit adalah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Bagaimanapun, selaras dengan Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC), panel memutuskan bahawa penggantungan hanya terpakai untuk perlawanan serta semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Sehubungan itu, pemain dibenarkan menyambung latihan bersama kelab masing-masing sepanjang tempoh penggantungan.

“Larangan untuk bermain perlawanan bermula hari ini, 5 Mac 2026, mengambil kira tempoh dari 25 September 2025 hingga 26 Januari 2026, di mana penggantungan ini telah dilaksanakan secara berkesan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Panel CAS berpendapat bahawa denda sebanyak CHF 350,000 (anggaran RM1.8 juta) ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) oleh FIFA berhubung kes berkenaan adalah wajar, setimpal, dan kekal berkuat kuasa.

Panel CAS turut memaklumkan bahawa FAM dan pemain berkenaan telah mengemukakan rayuan bersepadu kepada CAS pada 5 Disember 2025. – Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • CAS sebahagiannya membenarkan rayuan tujuh pemain Harimau Malaya terhadap FIFA
  • Tujuh pemain itu tetap dikenakan penggantungan selama 12 bulan hanya untuk perlawanan rasmi
  • Pemain adalah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel
  • Pemain dibenarkan menyambung latihan selama tempoh penggantungan
  • FIFA mendenda Persatuan Bolasepak Malaysia RM1.8 juta yang dianggap wajar dan kekal berkuat kuasa
Scroll to Top