Tujuh premis ada pembiakan Aedes di Balok

KUANTAN: Sebanyak tujuh premis dikesan mempunyai pembiakan Aedes manakala lapan Notis Perintah dikeluarkan dalam Operasi Gempur Aedes di sepanjang jalan persisiran pantai Balok di sini, kelmarin.

Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) memaklumkan, operasi itu membabitkan pemeriksaan terhadap 142 premis oleh 54 anggota menerusi 18 sub pasukan dari tujuh daerah bagi mempergiat kawalan dan pencegahan denggi.

Operasi  itu dilaksanakan Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri Pahang bersama Unit Penyakit Bawaan Vektor, JKNP dengan membabitkan pasukan dari Bera, Temerloh, Maran, Kuantan, Rompin, Pekan dan Jerantut.

“Seramai 54 anggota terbabit dalam operasi berkenaan yang turut memberi tumpuan kepada kawasan tumpuan awam di sepanjang jalan persisiran pantai Balok.

“Pemeriksaan dijalankan bagi mengesan tempat pembiakan Aedes selain tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (APSPP 1975) serta perundangan berkaitan kawalan produk merokok,” katanya.

Menuurtnya, hasil pemeriksaan mendapati tujuh premis mempunyai pembiakan Aedes dan dikenakan tindakan kompaun.

Selain itu, lapan Notis Perintah di bawah Seksyen 8 APSPP 1975 dikeluarkan terhadap premis yang didapati mempunyai keadaan berpotensi menjadi tempat pembiakan Aedes. – UTUSAN

 

Scroll to Top