am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Tukang gunting bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, Abdul Hamid Sheikh Mubarak meninggal dunia, di sini, semalam.
Abdul Hamid meninggal dunia pada usia 85 tahun akibat kegagalan fungsi jantung di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, pada 11.57 malam tadi.
Anak keenam beliau, Ab Rahim Abdul Hamid berkata, bapanya dimasukkan ke hospital pagi semalam selepas mengadu sesak nafas.
Katanya, bapanya turut bergantung kepada bekalan oksigen sebelum ini selepas mengalami pelbagai komplikasi penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan jantung selain sudah lanjut usia.
“Bapa sebelum ini berkhidmat kepada arwah Tok Guru (Nik Aziz) sejak lebih 20 tahun selepas beberapa tukang gunting lain meninggal dunia.
“Bapa berkenalan dengan Tok Guru di Pejabat PAS yang menjadi tempat dia mencari rezeki sebagai tukang gunting sepenuh masa,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Ijabah, Buloh Poh, Ketereh, di sini, petang hari ini.
Abdul Hamid meninggalkan lapan orang anak dan 11 cucu.
Allahyarham berkhidmat menjadi tukang gunting rambut Tok Guru Nik Aziz setiap dua minggu sekali.
Sejak pulang dari Mesir pada 1960-an, Tok Guru Nik Aziz terus menggunting rambut di kedai gunting rambut Kota Bharu Indah, yang terletak di bawah Bangunan PAS Negeri Kelantan di Jalan Datuk Pati.
Kedai yang mula beroperasi sejak 1967 menjadi lokasi pilihan Allahyarham selama puluhan tahun yang dikendalikan empat tukang gunting termasuk arwah Abdul Hamid.
Selepas tiga lagi sahabat tukang gunting di situ meninggal dunia, Abdul Hamid menjadi satu-satunya tukang gunting yang berkhidmat buat Tok Guru Nik Abdul Aziz.
Ini termasuk ketika Tok Guru Nik Azizi uzur, arwah akan ke rumah beliau untuk meneruskan bakti kepada pemimpin utama di Kelantan ini.
Jenazah Abdul Hamid selamat dikebumikan pada 2.07 petang hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




