syazrina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ledakan permintaan baju raya menjelang Aidilfitri tahun ini memaksa kebanyakan tukang jahit menutup tempahan lebih awal sehingga ada yang melakukannya seawal Disember tahun lalu lagi.
Situasi itu turut memberi limpahan rezeki kepada tukang jahit berikutan menerima kadar upah jahitan antara RM50 hingga RM300, bahkan ada yang sudah pun menerima lebih 4,000 tempahan.
Tukang jahit, Mohamad Aqib Asbar, 31, mengakui tempahan baju raya bagi pelanggan wanita sudah ditutup sepenuhnya seawal Disember lalu, manakala tempahan lelaki masih dibuka sehingga awal Ramadan.
Dia yang sudah 11 tahun berkecimpung dalam bidang jahitan berkata, setakat Januari tahun ini, tempahan baju raya lelaki sudah mencecah kira-kira 3,000 pasang, manakala tempahan wanita pula melebihi 1,000 pasang.
“Tempahan baju raya biasanya mula diterima sejak Oktober setiap tahun. Berkenaan harga, ia bergantung kepada jenis rekaan dan baju dengan termasuk cekak musang dan teluk belanga.
“Tempahan baju lelaki (terutama baju Melayu) masih dibuka dan dijangka ditutup menjelang awal Ramadan,” katanya kepada Harian Metro.
Mohamad Aqib berkata, bagi menampung jumlah tempahan yang tinggi, dia dibantu kira kira 10 tukang jahit untuk tempahan baju lelaki manakala tiga tukang jahit khusus bagi tempahan baju perempuan.
Katanya, peningkatan tempahan turut didorong oleh pelanggan sekeluarga yang membuat tempahan dalam jumlah besar.
“Biasanya seorang pelanggan akan tempah sekitar 10 pasang untuk satu keluarga.
“Paling banyak saya pernah terima ialah 38 pasang kerana ahli keluarga yang ramai,” katanya.
Sementara itu, tukang jahit di utara Semenanjung, Syuhaida Mustafa, 50, berkata, kebanyakan pelanggan kini hanya mendapatkan perkhidmatannya untuk kerja ubah suai seperti memendekkan atau mengecilkan saiz baju siap dibeli.
Katanya, walaupun tempahan bajunya sudah ditutup, dia masih menerima tempahan daripada pelanggan tetap dan rakan terdekat yang datang terus ke rumah.
“Kalau mereka hanya mesej kita mungkin boleh elak, tetapi kalau datang rumah, kita tak boleh elak, jadi saya akan ambil sahaja.
“Kebanyakan yang datang adalah pelanggan tetap dan upah mengikut rekaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



