Tukang masak makmal dadah di kondominium mewah ditahan

Tukang masak makmal dadah di kondominium mewah ditahan

KAJANG – Polis berjaya membongkar aktiviti sebuah makmal memproses dan mengedar pelbagai jenis dadah sebanyak 312.7 kilogram bernilai RM1.4 juta di sebuah unit kondominium di Lembah Klang sejak setahun lalu.

Seorang suspek lelaki berusia 24 tahun yang merupakan dalang utama dan juga berperanan sebagai tukang masak dadah berkenaan antara 13 individu yang ditahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua suspek warga tempatan itu terdiri daripada lapan lelaki dan lima wanita India berusia antara 21 hingga 51 tahun.

Kesemua mereka diberkas dalam beberapa serbuan yang dijalankan serentak di sekitar Lembah Klang pada 26 April lalu.

Dalam serbuan pertama di Jalan Utama Lebuhraya Cheras Kajang seorang lelaki berusia 25 tahun telah ditahan sebelum pemeriksaan lanjut berjaya menemukan 1,200 bungkusan heroin.

Khaw Kok Chin menunjukkan rampasan dadah hasil pembongkaran makmal dadah di kondominium sekitar Lembah Klang pada 26 April lalu dalam sidang media di IPD Kajang di sini hari ini.

“Berpandukan maklumat suspek pertama itu, pasukan serbuan JSJN Bukit Aman telah membuat serbuan di sebuah rumah di Semenyih dan berjaya membawa kepada rampasan sebuah beg mengandungi 16 bungkusan plastik lutsinar berisi bahan kimia disyaki dadah, satu plastik lutsinar mengandungi dadah, lapan botol kaca mengandungi bahan kimia dan pelbagai peralatan makmal memproses dadah antaranya tabung uji, turas dan ketuhar.

“Polis kemudian melakukan pemeriksaan lanjut di satu lagi rumah di kondominium di KL Sentral sebelum berjaya menjumpai sejumlah dadah syabu, heroin dan ganja,” katanya dalam sidang media kejayaan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang hari ini.

Tambah Kok Chin, polis telah terlibat dalam risikan ke atas sindiket itu yang aktif sejak setahun lalu dan semakan mendapati hanya lima suspek mempunyai rekod lampau atas kesalahan dadah dan jenayah.

Modus operandi sindiket itu adalah suspek lelaki berusia 24 tahun itu merupakan dalang utama yang menjadi tukang masak memproses dadah di kondominium yang disewa RM2,000  dengan upah RM3,000 sebulan.

Kondominium yang sama juga dijadikan setor simpanan serta pembungkusan bahan larangan itu.

“Dalang utama juga akan kordinasi dan mengedar dadah kepada pembelinya yang rata-rata terdiri daripada tokan serta port-port dadah yang dikenali sahaja atas permintaan dengan penghantaran menggunakan kenderaan termasuk lori khidmat kurier untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

“Siasatan juga mendapati salah seorang daripada lima wanita yang ditahan itu merupakan isteri dalang utama yang berperanan sebagai pengurus kewangan sindiket tersebut,” ujarnya lagi.

Khaw Kok Chin menunjukkan rampasan dadah hasil pembongkaran makmal dadah di kondominium sekitar Lembah Klang pada 26 April lalu.

Malah dalam serbuan sama, polis turut berjaya membuat rampasan terhadap 13 kenderaan termasuk sebuah lori yang menawarkan khidmat penghantaran kurier dan kenderaan pacuan empat roda  serta sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati yang dipercayai digunakan sindiket tersebut.

“Polis juga menyita 26 jenis barang kemas dan wang tunai RM213,000 dengan jumlah keseluruhan penyitaan barang milik sindiket yang dianggarkan bernilai RM1.08 juta dalam serbuan itu,” katanya.

Kesemua suspek kini direman selama enam hari bermula 27 April untuk membantu siasatan kes berkenaan yang sedang disiasat di Bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis kini dalam usaha untuk mengesan dan menjejaki saki-baki ahli sindiket yang dipercayai masih bebas untuk membantu siasatan,” tegasnya. – MalaysiaGazette