am@hmetro.com.my
Muar: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap seorang pekerja pembersihan yang mengaku bersalah memiliki dan menyebarkan video lucah bekas teman wanitanya.
Majistret Kartini Kasran menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Fauzi Helmy Mohd Noh, 29, selepas mengambil kira pengakuan bersalah dan rayuan melalui pertuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Mahkamah juga memutuskan tertuduh boleh dipenjara empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.
Tertuduh kemudiannya membayar denda terbabit.
Mengikut pertuduhan, dia yang masih bujang didakwa memiliki video lucah bekas teman wanitanya yang disimpan dalam telefon bimbit miliknya.
Perbuatan itu dilakukan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada 3.30 petang, 22 April lalu dan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau pun kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, pengadu yang juga mangsa wanita berusia 37 tahun membuat laporan polis selepas rakan sekerjanya memaklumkan menerima video miliknya daripada tertuduh.
Video terbabit dirakam oleh tertuduh tanpa disedari mangsa ketika mereka melakukan hubungan intim.
Bertindak atas maklumat itu, polis menahan tertuduh serta merampas telefon bimbit miliknya untuk siasatan lanjut.
Pemeriksaan terhadap telefon bimbit tertuduh menemukan satu fail yang mengandung video lucah yang disimpan di dalamnya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yasmin Mohd Piah, manakala tertuduh diwakili Sakinah Suhaimi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
© New Straits Times Press (M) Bhd




