Tukul besi itu kini di tanganmu dan genggamlah untuk keadilan – Amanat abang Ketua Hakim Negara

Tukul besi itu kini di tanganmu dan genggamlah untuk keadilan – Amanat abang Ketua Hakim Negara

surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: “Adikku, tegakkan badanmu, tengoklah adik sekarang, Ketua Hakim Negara.

“Ini bukan sekadar kenaikan pangkat, ini amanah suci yang diletakkan di bahumu. Ibu dan ayah pasti berbangga, abang pun begitu.”

Demikian luahan Datuk Wan Hisham Wan Salleh yang juga abang kepada Ketua Hakim Negara ke-17, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Wan Hisham menitipkan pesanan itu menerusi Facebook rasminya hari ini, sebaik Wan Ahmad Farid dilantik menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib, awal bulan ini.

Wan Hisham yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang berkata, beban jubah itu lebih berat daripada emas. Jubah itu bukan sekadar kain, ia ditenun dengan abad keadilan, harapan jutaan rakyat dan asas negara kita.

“Setiap kali memakainya, ingat kau bukan lagi dirimu semata. Kau mewakili undang-undang, maruah kehakiman dan kepercayaan rakyat bahawa keadilan akan ditegakkan. Pikul tanggungjawab itu dengan rendah hati.

“Kau akan berdepan tekanan daripada pihak berkuasa, pendapat umum, malah bisikan dalaman. Kompasmu hanyalah Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang dan prinsip perundangan. Keadilan bukan selalu apa yang rakyat mahu, tetapi apa yang undang-undang kehendaki.

“Beranilah mengikut jalan itu, walau kau keseorangan. Kesetiaanmu hanya untuk Keadilan, bukan pada mana-mana individu atau parti,” katanya.

Wan Hisham berkata, kekuatan kehakiman terletak pada kebebasannya. Peliharalah ia dengan gigih.

“Ini bermakna bersikap adil dalam setiap keputusan, menolak sebarang pengaruh tidak wajar (samar atau terang-terangan) dan bertekad teguh pada proses saksama.

“Mahkamahmu mesti jadi lambang ketidakberpihakan. Jangan sesekali izinkan orang mempersoalkan kesetiaanmu – ia hanya pada undang-undang,” katanya.

Menurutnya, dia berharap adiknya dengan penuh bijaksana memimpin mahkamah, mengurus kes, membimbing hakim dan menanam keyakinan.

“Undang-undang, kau sudah mahir, tapi sekarang, kau perlukan kebijaksanaan.

“Bijaksana memahami kesan keputusan mahkamah pada dunia nyata, bijaksana memilih medan perjuangan — baik dalam kehakiman mahupun pentadbiran. Mintalah nasihat rakan sejawat berpengalaman, tapi biarkan suara hatimu dipandu undang-undang menjadi keputusan terakhir.

“Peribadimu mesti tiada cacat cela — bukan sekadar di mahkamah, tapi di mana-mana: pergaulanmu, kewanganmu, malah percakapan santaimu, semuanya akan diperhatikan. Elakkan walau bayangan ketidakwajaran,” katanya.

Beliau juga berharap adiknya itu bersikap adil, telus dan beretika tanpa berbelah bagi.

“Satu kesilapan sahaja boleh menghancurkan kepercayaan rakyat yang dibina puluhan tahun.

“Sekarang kau memimpin hakim, tegaslah pada piawaian, kecekapan dan etika kehakiman. Tapi jadilah juga mentor dan penyokong,” katanya.

Akuinya, beban dilalui sangat berat, tetapi sandarkan diri kepada orang tersayang.

“Beban ini sangat berat dan jangan abaikan kesihatanmu, keluargamu atau semangatmu. Kau perlu ketajaman minda dan ketahanan jiwa. Cari cara sihat untuk melepaskan tekanan — hakim yang letih bukan hakim yang tajam. Sandarkan diri pada orang tersayang, merekalah pengikatmu.

“Adikku, ini kembaramu yang baharu. Memang menggerunkan, tapi kau terpilih kerana kau punya kekuatan, akal dan hati untuknya.

“Berjalanlah dengan prinsip tak goyah, rendah hati dan keberanian luar biasa. Tegakkan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih. Buat kami bangga, tapi lebih penting, muliakan amanah yang Malaysia berikan padamu,” katanya.

Di akhir kalam, Wan Hisham menitipkan pesanan, tukul besi itu kini di tanganmu dan genggamlah untuk keadilan.

“Sekarang pergi, adikku. Ukirkan namamu. Kami semua di belakangmu. Semoga Allah memimpin dan memberkati perjalananmu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top