Tulang ayam untuk gelandangan: Konon 'konten' tetapi ia tetap menghina

Tulang ayam untuk gelandangan: Konon 'konten' tetapi ia tetap menghina

mhafis@mediprima.com.my

Kuala Lumpur: “Memang kita boleh nampak dengan sengaja… walaupun mereka membuat kenyataan kononnya sebelum membuat ‘konten’ (kandungan media) sudah maklum kepada gelandangan itu, tetapi ia tetap menghina.

“Sebenarnya bukan sahaja mereka menghina individu itu, jauh lebih besar dari itu adalah mereka menghina diri mereka, kemuliaan diri mereka dan maruah diri,” kata Pendakwah bebas, Firdaus Wong.

Beliau berkata demikian berhubung video tular yang memaparkan tiga lelaki memberikan makanan nasi bersama sisa tulang ayam kepada seorang gelandangan.

“Perbuatan mereka itu satu tindakan menghina golongan susah walaupun mereka sudah memohon maaf tetapi jelas apa yang dilakukan itu untuk tujuan kandungan media sosial.

“Media sosial memang terbuka namun mereka perlu ada rasa tanggungjawab membuat kandungan media sosial,” katanya ketika dihubungi.

Firdaus berkata, jika ada undang-undang yang boleh mendakwa mereka, tindakan tegas dan hukuman sekeras-kerasnya perlu dikenakan terhadap ketiga-tiga lelaki itu.

“Ia wajar supaya menjadi peringatan serta tegahan kepada pihak yang membuat kandungan sebegitu rupa.

“Saya harap ada pihak berkuasa akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya jikalau ada ruang untuk mendakwa mereka di mahkamah.

“Jangan kita mencari alasan untuk memberikan kesedaran tetapi kita mempermain-mainkan dan berlakon sehingga mencetuskan huru-hara yang tidak sepatutnya.

“Saranan saya kepada semua pembuat kandungan media sosial adalah berhati-hatilah. Kalau nak buat ‘content’ buatlah dengan betul yang memberikan manfaat kepada orang lain. Bukannya dengan tujuan menghina begini,” katanya.

Terdahulu tiga lelaki dikecam orang ramai apabila memberikan makanan sisa tulang ayam berserta nasi kepada seorang gelandangan.

Menerusi video yang tular di media sosial, kelihatan tiga pemuda terbabit berkunjung ke restoran makanan segera dan mereka membeli ayam serta makan di situ.

Kemudian, mereka menyatakan mahu membuat kerja kebajikan dan seorang daripada pemuda itu memberitahu, tulang ayam berkenaan tidak boleh dibuang.

Mereka mengumpulkan tulang ayam itu dan meletakkannya di dalam nasi kononnya bagi mengelakkan pembaziran.

Pemuda itu memberitahu, tulang berkenaan boleh diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Selepas keluar dari restoran makanan segera, mereka dilihat memberikan nasi yang dibungkus bersama tulang ayam kepada gelandangan selain anjing jalanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top