Tular 24 jam terkandas di KLIA, jemaah umrah Indonesia akhirnya selamat pulang

Tular 24 jam terkandas di KLIA, jemaah umrah Indonesia akhirnya selamat pulang

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kumpulan jemaah umrah warga Indonesia yang sebelum ini dilapor terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di Sepang selepas gagal memperoleh tiket penerbangan ke Jakarta, berjaya meneruskan perjalanan pulang.

Perkembangan itu dimaklumkan menerusi hantaran susulan di platform Threads oleh pengguna, @_julizzz789, yang sebelum ini mendedahkan situasi dihadapi kumpulan jemaah berkenaan.

Menurutnya, semua jemaah sudah memperoleh tiket penerbangan selepas isu itu tular di media sosial.

“Alhamdulillah, mereka sudah dapat tiket. Mungkin selepas hantaran ini tular, agensi pelancongan itu membeli tiket kerana menerima tekanan daripada orang ramai.

“Kalau saya tidak buat begini, mungkin entah ke mana tiket mereka. Terima kasih kepada semua yang berkongsi semula hantaran ini dan menghubungi saya,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan dakwaan @_julizzz789 bahawa kumpulan jemaah berkenaan terkandas lebih 24 jam di KLIA Terminal 1 selepas syarikat agensi pelancongan yang menguruskan pakej umrah mereka didakwa gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke Jakarta, Indonesia.

Pengguna itu dilapor berkata, jemaah dimaklumkan hanya perlu transit selama dua jam di KLIA sebelum meneruskan penerbangan ke Indonesia, namun setibanya di Malaysia mereka mendapati tiada tiket penerbangan disediakan.

Hantaran berkenaan mengundang perhatian ramai pengguna media sosial yang melahirkan rasa simpati terhadap nasib jemaah terbabit, selain menggesa pihak berkaitan segera membantu menyelesaikan isu itu.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada agensi pelancongan yang dikaitkan dengan dakwaan berkenaan mahupun pihak berkuasa Indonesia berhubung insiden itu.

Sementara itu, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Raden Datuk Mohammad Iman Hascarya Kusumo, ketika dihubungi BH memaklumkan pihaknya sedang mendapatkan maklumat dan membuat semakan di lapangan berhubung isu dan dakwaan berkenaan.

“Sedang disemak dengan keadaan di lapangan,” katanya ringkas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top