Tular gambar berpakaian seragam tentera dalam kelab, TDM siasat

Tular gambar berpakaian seragam tentera dalam kelab, TDM siasat

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tentera Darat Malaysia (TDM) menjalankan siasatan terhadap anggota pasukan itu yang gambarnya dengan pakaian seragam ditayang di sebuah premis hiburan, di sini seperti tular di TikTok, sejak Isnin lalu.

Sel Perhubungan Raya Markas TDM dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai penularan gambar memaparkan seorang lelaki berpakaian seragam tentera dengan latar belakang logo Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) di sebuah premis hiburan.

Katanya, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan anggota terbabit disiasat oleh Cawangan Penyiasatan Khas (CPK).

“Siasatan akan menjurus kepada bagaimana perkara itu berlaku serta mengenal pasti sekiranya terdapat sebarang unsur pencemaran keselamatan sama ada terhadap anggota itu atau terhadap TDM.

“Selain itu siasatan juga akan cuba mengenal pasti sekiranya terdapat pembabitan anasir subversif lain dalam kejadian itu.

“Sekiranya terbukti bersalah anggota boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut peraturan sedia ada kerana melanggar etika sebagai seorang anggota tentera dan menjejaskan nama baik TDM,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Katanya, TDM juga akan mempertingkatkan pemantauan penggunaan media sosial agar kejadian seperti ini dapat dikekang.

“Walaupun paparan berkenaan bersifat peribadi namun paparan imej sebagai seorang anggota tentera di tempat dan atas tujuan yang tidak bermoral boleh mengundang persepsi negatif serta mencemarkan nama baik TDM,” katanya.

Terdahulu, gambar seorang anggota tentera dengan berpakaian seragam ditayang di sebuah pusat hiburan dan mengundang perhatian ramai selepas ia tular di TikTok.

Difahamkan, tayangan gambar itu didakwa dibuat sempena ulang tahun perkenalan bersama pasangannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top