Tular lewat perbaharui lesen dikompuan tidak benar

Tular lewat perbaharui lesen dikompuan tidak benar

PETALING JAYA: Satu hantaran tular menerusi laman sosial Facebook mengenai kompaun dikenakan ke atas individu yang lewat memperbaharui lesen memandu adalah tidak benar.

Menerusi kenyataan yang tular itu, individu yang lewat memperbaharui lesen memandu motosikal dan lesen memandu kereta didakwa akan dikenakan kompaun berdasarkan tempoh memperbaharui lesen sebaik lesen memandu mereka tamat.

Bagaimanapun, semakan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati kompaun berkenaan adalah untuk mereka yang ditahan kerana memandu kereta atau menunggang motosikal tanpa lesen yang sah.

“Itu adalah viral lama dan perkara itu tidak benar,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, satu kenyataan rasmi JPJ yang disiarkan pada Disember 2016, terdapat salah faham berhubung kompaun yang dinyatakan oleh pihak JPJ.

“Kompaun yang dinyatakan adalah kesalahan memandu tanpa lesen memandu yang sah dan tamat tempoh mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Oleh itu, pemandu kenderaan atau penunggang motosikal yang didapati memandu atau menunggang tanpa lesen memandu atau lesen tamat tempoh akan dikenakan kompaun maksimum RM300,” katanya.

Berikutan itu, JPJ menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang mesej melalui media sosial yang tidak mempunyai sumber sah.

Sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan, orang ramai dinasihatkan berhubung terus dengan pihak JPJ, selain tidak menyebarkan salah faham berkenaan. – UTUSAN