Tular senarai palsu calon BN: Onn Hafiz ingatkan rakyat berhati-hati terhadap fitnah

Tular senarai palsu calon BN: Onn Hafiz ingatkan rakyat berhati-hati terhadap fitnah

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengingatkan rakyat supaya berhati-hati terhadap fitnah dan maklumat tidak sahih susulan penularan satu senarai calon BN yang didakwa akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Beliau menegaskan bahawa senarai yang sedang beredar di media sosial dan WhatsApp sejak semalam itu adalah palsu.

Menurutnya, sebarang pengumuman rasmi berkaitan calon BN hanya akan dibuat menerusi saluran rasmi parti.

“Dalam bahang pilihan raya ini, sudah pasti akan ada pelbagai bentuk fitnah, khabar angin, provokasi dan berita palsu yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu bagi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Onn Hafiz berkata, masyarakat perlu mengamalkan sikap tabayyun dengan menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya kepada orang lain.

Beliau turut mengingatkan bahawa Islam mengajar umatnya supaya menyelidik terlebih dahulu setiap berita yang diterima bagi mengelakkan sebarang kesilapan dan penyesalan.

“Justeru, saya menyeru seluruh Bangsa Johor agar mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi serta tidak mudah terpengaruh dengan berita yang tidak dapat dipastikan kebenarannya,” katanya.

Beliau turut mengajak semua pihak berpolitik secara matang, berakhlak dan bertanggungjawab demi memastikan keharmonian, kestabilan serta proses demokrasi di Johor terus terpelihara sepanjang berlangsungnya PRN kali ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top