Tular video didakwa minta duit perlindungan, PKR WP gesa ahli MPP letak jawatan

Tular video didakwa minta duit perlindungan, PKR WP gesa ahli MPP letak jawatan

Dua individu daripada Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Wangsa Maju diarahkan melepaskan jawatan masing-masing serta-merta susulan video tular berkaitan dakwaan meminta wang perlindungan daripada sebuah premis perniagaan.

Keputusan dicapai dalam mesyuarat Biro Politik PKR WP

Menerusi kenyataan rasmi dibuat Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin, beliau menyatakan keputusan terhadap R Vijeyndran dan G Paarthiydasan itu dicapai dalam mesyuarat Biro Politik PKR Wilayah Persekutuan hari ini.

Langkah dibuat untuk beri laluan proses siasatan

Tambah beliau, langkah berkenaan diambil bagi memberikan laluan sepenuhnya kepada proses siasatan polis serta siasatan dalaman parti tanpa sebarang gangguan.

“Parti tidak akan bertolak ansur dan tidak akan melindungi mana-mana ahli atau wakil yang terlibat dalam amalan pemerasan, wang perlindungan atau salah guna kuasa. Keadilan mesti bermula dari dalam parti sendiri.
“Biro Politik juga mengarahkan Jawatankuasa Disiplin PKR Wilayah Persekutuan menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh dan melaporkan dapatan kepada Biro Politik dalam masa terdekat,” katanya.

Azman berkata, Biro Politik PKR turut mengingatkan semua ahli dan wakil parti bahawa kedudukan sebagai wakil penduduk adalah amanah rakyat yang perlu dilaksanakan dengan penuh integriti.

“Sebarang penyelewengan akan ditangani dengan tegas tanpa kompromi. PKR akan terus memperjuangkan tadbir urus yang bersih, telus dan berkeadilan di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Artikel lain: Tular video ahli MPP didakwa kutip wang perlindungan: “You pau, you out!” -Hannah Yeoh

Dalam pada itu, Biro Politik menyarankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya terus memantau aktiviti pusat urut di kawasan Wangsa Maju dengan lebih teliti bagi memastikan tiada pelanggaran peraturan, undang-undang atau syarat lesen premis berlaku.

Terdahulu, tular melalui media sosial satu video memaparkan dua individu, yang didakwa meminta wang perlindungan daripada sebuah premis perniagaan dipercayai di ibu negara.

Sumber: Facebook Azman Abidin

Scroll to Top