Tular video pengunjung jerit ‘tak dengar’, kecewa kualiti audio konsert Ella

Tular video pengunjung jerit ‘tak dengar’, kecewa kualiti audio konsert Ella

KUALA LUMPUR: Segelintir pengunjung Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella meluahkan rasa kecewa terhadap kualiti sistem bunyi yang didakwa gagal menyampaikan nyanyian artis kesayangan mereka dengan jelas.

Rakaman video yang tular di media sosial memaparkan segelintir penonton di kawasan aras atas (upper tier) melaungkan protes dengan menjerit ‘tak dengar’ secara serentak sambil mengangkat tangan membentuk tanda pangkah sebagai simbolik kegagalan sistem audio di zon berkenaan.

Menurut seorang peminat yang hadir, masalah gema keterlaluan menyebabkan kualiti bunyi menjadi bingit sehingga mereka sukar memahami butir bicara penyanyi tersohor negara, Ella, ketika sesi interaksi bersama penonton.

“Sistem bunyi di bahagian atas sangat bergema. Waktu sesi berbual, langsung tidak jelas apa yang diperkatakan. Apabila mula menyanyi, gema terlalu kuat sehingga menenggelamkan kemerduan suara asal,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Rata-rata peminat berpendapat, pihak penganjur seharusnya lebih peka terhadap aspek teknikal, lebih-lebih lagi apabila memilih lokasi ikonik, Stadium Nasional Bukit Jalil, sebagai venue penganjuran konsert berskala besar.

“Kecoh apabila bunyi tidak sampai ke tempat duduk bahagian atas. SNBJ bukan stadium kecil, malah antara yang terbesar di dunia. Jika sistem audio tidak mencukupi, jangan ambil risiko mengadakan konsert di stadium sebesar ini.

“Kasihan penonton di bahagian atas yang sudah melaburkan wang membeli tiket, namun akhirnya hanya menikmati visual tanpa audio yang memuaskan,” tegas seorang lagi pengguna.

Setakat ini, pihak penganjur masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan isu ini.

Bagaimanapun, peminat yang membeli tiket di bahagian bawah mengakui berpuas hati dengan persembahan Ratu Rock Malaysia itu sepanjang hampir tiga jam konsert berlangsung.

”Ella memang hebat, stamina macam zaman muda remaja,” kata satu komen.

”Kawasan tempat duduk saya dapat dengar jelas nyanyian Ella cuma silau lampu asyik tembak tempat duduk kami,” kata seorang peminat -UTUSAN

Scroll to Top