Tular video warga emas disepak, ditampar: Tiga sekeluarga ditahan polis di Plentong

Tular video warga emas disepak, ditampar: Tiga sekeluarga ditahan polis di Plentong

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Perselisihan faham berkaitan masalah keluarga dipercayai menjadi punca pergaduhan membabitkan tiga lelaki termasuk seorang warga emas di hadapan sebuah kedai di kawasan Plentong, di sini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, ketiga-tiga lelaki berusia antara 27 hingga 60 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, polis mengesan video berdurasi dua minit enam saat yang memaparkan kejadian itu selepas ia dimuat naik menerusi akaun Facebook (FB) pada Sabtu.

“Hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek memiliki hubungan kekeluargaan dan punca pergaduhan juga disebabkan masalah keluarga.

“Semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya menerusi siaran media hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

“Ketiga-tiga suspek direman selama tiga hari sehingga 3 November ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Sebelum ini, tular rakaman video berdurasi dua minit 54 saat memaparkan seorang warga emas dipercayai ditolak, disepak dan ditampar seorang lelaki di hadapan sebuah kedai mencuci kereta di Plentong di sini.

Rakaman berkenaan mengundang kecaman netizen yang meluahkan rasa simpati terhadap mangsa serta mempersoalkan perbuatan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top