am@hmetro.com.my
Seremban: “Nanti tulis apa yang betul ya, tak sahih cerita jangan tulis. Terima kasih.” Itu pesan pelakon wanita kepada wartawan ketika dia dan suami diiring ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Pelakon drama ‘Nur’ dan suaminya itu dibawa ke mahkamah untuk direman bagi membantu siasatan berkaitan kes penipuan urusan penjualan tanah kurnia membabitkan kerugian RM1.5 juta.
Terdahulu, pasangan itu ditahan di tempat persembunyian di sebuah madrasah tahfiz Jalan Kuari Sungai Long, Batu 11, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, suami isteri itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, untuk permohonan reman.
“Susulan satu laporan polis berkait kes penipuan yang dibuat di daerah ini, polis menahan pasangan suami isteri masing-masing berusia 40-an dan 30-an di tempat persembunyian mereka.
“Pasangan ini ditahan di sebuah premis di Hulu Langat, Selangor,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, pasangan itu dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini, untuk direman sebelum Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah membenarkan reman selama tiga hari terhadap kedua-dua suspek.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis juga meminta ruang siasatan yang telus dapat dijalankan dan orang awam dinasihatkan supaya tidak mengganggu siasatan dengan mengeluarkan kenyataan di media sosial,” katanya.
Mengulas mengenai kes berkenaan, Azahar berkata, mangsa seorang lelaki berumur 56 tahun yang juga seorang pesara ahli perniagaan yang sebelum ini menjalankan perniagaan pembangunan hartanah.
“Mangsa disyaki ditipu rakannya dalam urusan untuk mendapatkan tanah kurniaan kerajaan negeri Selangor.
“Pengadu menyatakan sebelum ini pada 21 September 2023 ditawarkan oleh seorang lelaki untuk mendapatkan beberapa lot tanah di Selangor yang terletak di bawah mukim Cheras yang mana sebelum ini dijanjikan akan mendapat tanah berstatus kurniaan kerajaan negeri Selangor.
“Pengadu mula berurusan dengan suspek dan membuat sebanyak beberapa kali transaksi,” katanya.
Beliau berkata, suspek memberikan akaun bank bapanya serta akaun bank isterinya bagi menerima bayaran transaksi untuk proses mendapatkan lot tanah yang dijanjikan sebanyak RM1.5 juta.
Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang usahawan produk kecantikan mendakwa menjadi mangsa penipuan seorang pelakon wanita bersama suaminya membabitkan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.
Pendedahan itu dibuat menerusi hantaran di aplikasi Threads, mendakwa aktres yang sering menghiasi drama di kaca TV kini sedang ‘bersembunyi’ selepas didakwa menipu wang mangsa.
Menurut mangsa yang menggunakan nama akaun Threads, kakbeyna_official, dia kerugian sebanyak RM300,000, namun mendakwa terdapat mangsa lain yang mengalami kerugian jauh lebih besar sehingga mencecah jutaan ringgit.
Difahamkan, beberapa laporan polis sudah dibuat oleh mangsa dan wanita itu turut memuat naik gambar tangkap layar kiriman mesej dari mangsa lain dan tertera MyKad pelakon itu dan lelaki yang didakwa sebagai suaminya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




