Tulus kasih di pusara

Tulus kasih di pusara

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Segamat: “Walaupun tak pernah jumpa, saya perlu terima hakikat arwah sebelum ini suami kepada isteri saya.

“Apa yang saya buat itu sekadar nak bantu kerana siapa pun arwah, dia dan saya tetap saudara sesama Islam.”

Itu kata Mohd Shaiful Anuar Salleh, 37, ketika berkongsi kisahnya yang bukan hanya datang menemani isteri tercinta, Rohana Anang Mahsuri, 37, ke pusara allahyarham suami wanita itu, Zahari Yahya.

Sebaliknya, Mohd Shaiful, dari Kampung Jawa, di sini, rajin membantu membersihkan pusara allahyarham dan ia dapat dilihat menerusi video dimuat naik Rohana di TikTok, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Mohd Shaiful berkata, sebelum berkahwin, isterinya berkongsi latar belakang diri yang pernah dua kali berumah tangga.

Baginya, apa diceritakan itu kisah lalu dan tiada apa hendak dicemburukan kerana dia kini bahagia dengan isteri.

“Dia (isteri) ada cerita mengenai arwah dan suami perkahwinan pertamanya.

“Saya tak kisah kerana lebih baik isteri berterus terang dan sebenarnya, sebelum kami berkahwin, saya teman dia ke kubur arwah.

“Jadi, saya terbiasa dan sampai sekarang masih teman isteri ke kubur arwah. Sambil ziarah, saya bantu bersih apa yang patut kerana nak kawasan kubur arwah bersih dan cantik,” katanya.

Sementara itu, Rohana terharu dengan apa yang dilakukan Mohd Shaiful kerana tidak pernah meminta suaminya membantu namun dia melakukannya dengan rela hati.

“Saya ziarah kubur arwah suami sekali seminggu, kebiasaannya pada Khamis dan suami ikut sama.

“Suami gemar bantu bersih kawasan kubur arwah seperti cantas pokok atau tambah batu. Lama kelamaan, jadi terbiasa dan saya saja kongsikan video di TikTok untuk kenangan. Tak sangka ia mendapat lebih 100,000 tontonan,” katanya.

Menurut Rohana, tiada apa diharapkan melainkan kebahagiaan dalam rumah tangga.

“Ini perkahwinan ketiga saya, yang pertama berakhir perceraian sehingga saya fobia dan kedua hanya bertahan lima tahun bermula 2014 sehingga 2019 sebelum suami meninggal dunia akibat barah usus.

“Mulanya berat juga hendak berkahwin kali ketiga kerana suami sebelum ini bujang, namun akhirnya kami berkahwin selepas tiga tahun mengenali satu sama lain.

“Saya berdoa hubungan kami berpanjangan. Saya juga bersyukur kerana anak hasil perkahwinan pertama dulu pun boleh terima suami, juga adik tirinya,” katanya yang berniaga makanan di warung.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top