nurul_husna@hmero.com.my
Penataan laman dapur yang diinspirasikan daripada konsep ‘edible garden’ atau taman tanaman makanan wajar diwujudkan di setiap rumah.
Idea mewujudkan landskap laman dapur membolehkan pemilik kediaman bukan sahaja mencantikkan laman mereka malah membantu meningkatkan fungsi landskap terbabit.
Menurut arkitek dan pereka laman sebuah syarikat tempatan, Mohd Lazim Mokhtar, mewujudkan laman dapur sebagai landskap boleh menjimatkan beban kewangan apabila sumber taman itu membekalkan makanan kepada isi rumah.
“Landskap laman dapur boleh menjadi trend kepada pemilik yang mahu mencantikkan kediaman selain memastikan sumber taman itu dapat menjadi makanan isi rumah.
“Bayangkan jika lebih 50 hingga 70 peratus keperluan dapur datang daripada kebun sendiri, ini bukan sahaja mengoptimumkan penggunaan laman lebih baik malah memberi kepuasan kepada pemilik laman itu sendiri.
“Bonus bagi pemilik yang dapat mencantikkan laman rumah mereka dengan tanaman yang boleh dimakan,” katanya.
Kata Mohd Lazim, konsep laman dapur juga berpadanan dengan trend rumah masa kini yang memiliki keluasan tanah terhad.
“Laman dapur ini seperti yang saya maklum konsepnya ‘from garden to kitchen’ iaitu menanam tanaman yang digunakan di dapur pemilik.
“Tidak perlu tanah luas dan memadai koridor atau balkoni berkeluasan 61 sentimeter (cm) X 213 cm boleh menempatkan pelbagai jenis tanaman.
“Saya sendiri, pengalaman pernah memuatkan kira lebih 20 tanaman dalam ruang keluasan itu termasuklah buah-buahan.
“Sekarang ini sudah ada pokok buah hibrid yang mana saiz pokoknya lebih kecil dan tempoh untuk dapatkan hasil juga lebih singkat.
“Pelbagaikan tanaman dalam laman dapur boleh memberi sumber makanan dan pada masa yang sama meningkatkan nilai estetika laman itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata, kalau di luar negara, biasanya mereka menanam tanaman atau sayur yang biasa dimakan atau diguna untuk memasak hanya di balkoni.
“Konsep yang sama boleh digunakan bagi dapur pemilik laman antaranya rempah atau ramuan kerap digunakan isi rumah.
“Contoh herba atau ramuan masakan seperti daun kari, serai, pokok limau kasturi dan herba tempatan.
“Cuma pilihan tanaman sebaiknya mulakan dengan menanam sesuatu disukai.
“Itu akan mendorong mereka lebih tingkatkan aktiviti suka menanam di laman sendiri,” katanya.
Sementara itu, kurator laman dan juga penggiat hiasan landskap Lailazim DECO, Paredah Saad berkata, susun atur tanaman pula penting dalam memastikan estetika laman dapur tampil menceriakan.
“Laman dapur masih boleh kelihatan cantik dengan pilihan dan susun atur tanaman yang betul.
“Seperti susun atur dalam konsep landskap lain, lapisan atau urutan tanaman betul membantu mendapatkan efek ‘wow’ pada laman.
“Contoh pokok lengkuas yang tinggi, perlu disusun belakang manakala pokok renek atau kecil seperti kesum, herba atau pokok mas cotek dan pokok sabung nyawa batik boleh disusun di hadapan.
“Sekarang ini banyak pokok hibrid atau didatangkan dengan tona warna pelbagai membuatkan laman dapur lebih berwarna-warni,” katanya.
Saranan Paredah atau lebih mesra disapa Laila berkata, untuk permulaan tanam pokok yang disukai dan mudah dijaga.
“Motivasi saya sendiri ialah menanam pokok kegemaran dan mudah ditanam. Apabila dapat hasil, kongsi dengan keluarga.
“Ini membuatkan pemilik laman berasa puas apabila menikmati hasil taman sendiri.
“Selain itu perlu mereka ketahui ialah sekarang ini sudah banyak cara untuk tanam pokok tanpa perlu laman yang luas.
“Menggunakan pasu besar baik material konkrit atau plastik, sudah boleh wujudkan taman mini boleh menempatkan pelbagai tanaman boleh dimakan.
“Penting pemilik laman mahu menata rias dan mulakan aktiviti menanam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




