Tumpah air mata bapa bila anak terpilih Program SULUNG

Tumpah air mata bapa bila anak terpilih Program SULUNG

BATU PAHAT – Tanpa seorang lelaki yang dipanggil bapa, kita tidak akan lahir ke dunia ini.

Realitinya, sebagai ketua keluarga, bapa sanggup berjuang demi mencari rezeki untuk menyara keluarga yang dibina serta membesarkan anak-anak yang kian meningkat dewasa.

Pelbagai cabaran dan rintangan ditempuhi seorang bapa dengan cukup sabar tanpa kenal erti penat kerana ingin lihat anak-anak membesar tanpa kesusahan hidup.

Sebab itu air mata seorang bapa begitu mahal apabila mengalir keluar.

Bagi seorang bapa di mana anaknya terpilih dalam Program Pembangunan Siswa SULUNG Keluarga Malaysia atau SULUNG anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), hanya air mata yang mampu menjawab kegembiraannya itu.

Kata Saad Sani dalam nada bercampur baur, beliau sangat bersyukur dan gembira apabila anaknya, Saidatulnisya, 21, berubah fikiran untuk menyambung pelajaran di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan dan turut menjadi pelajar perintis Program SULUNG.

“Saya pada mulanya kecewa apabila anak saya enggan sambung belajar di peringkat sarjana muda selepas memiliki diploma kerana dia ingin bekerja dahulu.

“Bagi saya, apa yang diperolehi apabila dapat sambung belajar dan terpilih Program SULUNG adalah rezeki Allah SWT.

“Saya memang mahu lihat dia sambung belajar lagi hingga ke peringkat sarjana muda sebab dahulu saya tidak berpeluang kerana susah dan tidak mampu,” katanya sambil mengalirkan air mata.

Saad Sani bercakap kepada media Malaysia Gazette selepas Majlis Pelancaran Program Pembangunan SiswaSULUNG Keluarga Malaysia (SULUNG) dan Penyampian Surat Tawaran Program Penajaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor. Foto MUHD NA’IM, 26 OKTOBER 2022.

Saad, 54, yang berasal dari Gemencheh, Negeri Sembilan dan hanya bekerja kampung itu berharap Program SULUNG dapat diteruskan dan membantu anak-anak yang datang daripada keluarga susah.

“Terima kasih kepada kementerian yang ada idea buat program sebegini yang baik untuk membantu mereka yang memerlukan dan diteruskan sampai bila-bila.

“Harapan saya agar anak saya sulung dapat menjadi contoh kepada adiknya dan dapat menjamin masa depan apabila menyambung pelajaran di universiti,” katanya.

Bagi seorang lagi bapa, Marzuki Mat Daud, beliau kehilangan kata-kata apabila anak bongsunya daripada tiga beradik menjadi yang pertama ke UMP dan lebih mengharukan terpilih dalam Program SULUNG.

Marzuki Mat Daud bercakap kepada media Malaysia Gazette selepas Majlis Pelancaran Program Pembangunan SiswaSULUNG Keluarga Malaysia (SULUNG) dan Penyampian Surat Tawaran Program Penajaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor. Foto MUHD NA’IM, 26 OKTOBER 2022.

“Terima kasih KPT dan UMP. Saya memang tidak sangka anak saya, Mazlina terpilih dalam Program SULUNG dan inilah rezeki,” katanya sebak tanpa dapat meneruskan kata-kata.

Program SULUNG merupakan satu cadangan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad untuk melaksanakan secara rintis di mana pelaksanaannya menanda aras beberapa contoh program yang hampir serupa di negara luar seperti program “First in Family” di United Kingdom dan Australia, dan “First-Generation College Student” di Amerika Syarikat (AS).

Program itu bertujuan untuk memberikan peluang kepada generasi pertama dalam kalangan keluarga B40 yang belum ada ahli keluarga melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dan ke atas, untuk menyambung pengajian mereka terutama pelajar B40 yang cemerlang tetapi kurang berkemampuan untuk masuk ke institusi pengajian tinggi.

Pengambilan pertama Program SULUNG atau Kohort 1 tahun 2022 bermula pada Oktober ini di mana terdapat lapan Universiti Awam (UA) perintis yang terlibat.

UA itu adalah Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Malaysia Perlis.

Seramai 76 orang pelajar daripada 115,477 permohonan kemasukan ke Insituti Pengajian Tinggi Awam melalui UPUOnline telah terpilih ditawarkan sebagai siswa SULUNG.

Mereka yang terpilih menyertai program ini bukan sahaja diberikan laluan khusus kemasukan ke UA tetapi turut ditawarkan bantuan kewangan dalam bentuk derma siswa merangkumi yuran pengajian, yuran-yuran berkaitan, elaun serta bantuan seperti elaun sara hidup dan bantuan komputer riba.

Di samping itu, kemudahan asrama sepanjang tempoh pengajian turut disediakan untuk siswa SULUNG selain mendapat bimbingan daripada Pembimbing SULUNG dan Penasihat Akademik bagi memastikan pelajar-pelajar ini dapat fokus kepada pengajian. – MalaysiaGazette

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad (tengah) bergambar bersama penerima 10 buah Universiti Awam seluruh Malaysia pada Majlis Pelancaran Program Pembangunan Siswa SULUNG Keluarga Malaysia (SULUNG) dan Penyampian Surat Tawaran Program Penajaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor. Foto MUHD NA’IM, 26 OKTOBER 2022.