Tumpang kasih bapa saudara sambut Aidilfitri

Tumpang kasih bapa saudara sambut Aidilfitri

bhnews@bh.com.my

ALOR GAJAH: Menjelang Aidilfitri, anak yatim yang berkorban menjaga ibu dan ibu saudara yang terlantar sakit, terpaksa menumpang kasih bapa saudara dan isterinya.

Mohd Fakhrul Fitri Razali, 16, menggantungkan kasih dan sayangnya pada bapa saudara, Shahril Bujang, 52, dan isterinya, Hamizah Halidi, 54, yang sanggup bersusah-payah mendapatkan kebenaran pihak berkuasa untuk merentas negeri dari Shah Alam, Selangor ke Kampung Sungai Buloh, di sini.

Pelajar tingkatan empat sebuah sekolah di sini itu berkata, setiap petang, dia menyediakan juadah berbuka puasa untuk ibu, Azizah Bujang, 54, dan kakak ibunya, Norila, 57.

“Saya cuma boleh masak nasi goreng hasil tunjuk ajar ibu dan lazimnya jiran tetangga tidak lupa menghulurkan sumbangan makanan untuk kami.

“Waktu sahur, kami hanya makan roti dan ia cukup untuk membolehkan kami menjalani ibadah puasa dan saya amat bersyukur kerana dalam keadaan seumpama itu, ibu dan Mak Cik saya masih mampu berpuasa,” katanya di kediamannya di kampung itu, hari ini.

Mohd Fakhrul berkata, kehadiran Aidilfitri setiap tahun diserikan dengan kehadiran Shahril dan Hamizah yang bukan setakat membantu menjaga ibu dan ibu saudara, malah turut menyediakan ketupat dan rendang.

“Alhamdulillah, Pak Busu dan Mak Busu masak rendang ayam dan daging kegemaran saya, selain membantu mengelap badan dan memandikan ibu dan mak cik,” katanya.

Azizah diserang angin ahmar sejak 2014 yang menyebabkan anggota tubuh sebelah kanan tidak mampu digerakkan manakala kakaknya yang menghidap diabetes kronik, kehilangan kaki kiri pada 2010 dan kaki kanan pada 2016.

Kedua-dua wanita itu tiada tempat bergantung harapan untuk meneruskan kehidupan, selain Mohd Fakhrul sejak suami Azizah, Mohd Yusri Aziz meninggal dunia pada 2017.

“Saya anak angkat sejak kecil dan saya tidak pernah bertemu ibu dan bapa kandung tetapi saya amat kasih akan ibu dan ayah angkat saya kerana merekalah yang membesarkan saya,” katanya.

Dia menjelaskan, Norila dijaga oleh Azizah sejak wanita terbabit kehilangan kaki kiri pada 2010 tetapi ibunya pula diuji Allah dengan diserang angin ahmar pada 2014 sebelum Norila kehilangan satu lagi kaki pada 2016.

Berikutan itu, kehidupan mereka sekadar bergantung kepada pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ibunya sebanyak RM900 sebulan dan sumbangan bahan makanan bernilai RM200 sebulan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top