am@hmetro.com.my
Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa sedih dan dukacita di atas kepulangan Perdana Menteri Malaysia kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, malam tadi.
Menerusi perkongsian di Facebook Selangor Royal Office, baginda berdua menzahirkan perutusan takziah kepada waris dan keluarga Allahyarham khususnya balu, Tun Jeanne Abdullah.
“Baginda mengenali Abdullah sejak lewat 1960-an, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang negarawan yang berdedikasi dan tenang serta diingati sebagai seorang pemimpin yang amat mementingkan kesejahteraan rakyat.
“Di atas jasa dan bakti Allahyarham, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mengurniakan Abdullah dengan Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (DSSA) pada 1992 dan Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) pada 2000.
“Kedua-dua baginda mendoakan roh Allahyarham Abdullah dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan solihin,” kata kenyataan itu, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




