Tun Ali sertai warga UTeM dalam Kayuhan Kemerdekaan

Tun Ali sertai warga UTeM dalam Kayuhan Kemerdekaan

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjayakan program Kayuhan Kemerdekaan bersama Yang Dipertua Negeri Melaka merangkap Canselor UTeM, Tun Mohd Ali Rustam di kawasan sekitar Kampung Bukit Tambun, Durian Tunggal, Melaka.

Program anjuran bersama UTeM dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Tambun Utara ini turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil dan Naib Canselor UTeM Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin.

Turut bersama menjayakan program itu adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar,Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif, staf serta pelajar UTeM.

Naib Canselor UTeM berkata, Kayuhan Kemerdekaan merupakan salah satu aktiviti di bawah ‘Program Tun Canselor dan UTeM bersama Masyarakat’ selain pelancaran buku Jejak Tiga Dekad Belia Melaka karya Tun Mohd Ali dan Forum Kemerdekaan bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat UTeM.

Menurutnya, UTeM amat berbesar hati atas kesudian Tun Mohd Ali selaku Canselor UTeM memeriahkan program dengan menyertai sesi Kayuhan Kemerdekaan sejurus selepas menyempurnakan pelancaran buku Jejak Tiga Dekad Belia Melaka pada sesi sebelumnya.

“Kayuhan melibatkan jarak sejauh tiga kilometer itu bermula dari Balai Raya Padang Kerbau mengelilingi kawasan sekitar Kampung Bukit Tambun dan singgah di lima buah rumah penduduk terpilih untuk menyampaikan sumbangan.

“Tun Canselor bermurah hati dengan menyerahkan sumbangan berupa bantuan kewangan termasuklah barangan keperluan asas seperti minyak masak, gula, beras kepada rumah yang terpilih selain beramah mesra dan bertanya khabar,” katanya lagi.

Jelas beliau lagi, program itu turut menonjolkan imej dan visibiliti UTeM di samping menyantuni komuniti setempat serta menyuntik semangat patriotik kepada warga UTeM dan memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-65.

Kesinambungan program Kayuhan Kemerdekaan ini diikuti pula dengan kayuhan berjarak sejauh 140 kilometer pada 1 September yang melibatkan lapan institusi pengajian tinggi sekitar Melaka.

Kayuhan bermula dari Dataran Canselori UTeM menuju ke Universiti Kuala Lumpur (UNIKL MICET) cawangan Alor Gajah, Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Lendu, Universiti Melaka (UNIMEL), Open University Malaysia (OUM), Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Geomatika Malaysia (UGM). – MalaysiaGazette