am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan sudah keluar dari di Institut Jantung Negara (IJN) selepas bekas Perdana Menteri itu mengalami keletihan ketika menyertai program ‘Picnic & Potluck’ di Putrajaya, hari ini.
Difahamkan, Dr Mahathir dibenarkan keluar jam 5 petang tadi, selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada jam 10 pagi.
“Berkat doa semua, Alhamdulillah Tun M (Dr Mahathir) sudah diizin keluar dari IJN sekitar jam 5 petang.
“Sebelum ini Tun dimasukkan ke IJN pada jam 10 pagi untuk berehat akibat kepenatan.
“Insya-Allah kita sama-sama berdoa semoga Tun M terus diberikan kesihatan yang terbaik,” memetik entri dari Facebook Kelab Che Det malam ini.
Terdahulu, Dr Mahathir dilapor meninggalkan program ‘Picnic & Potluck’ lebih awal pagi selepas dilaporkan mengalami sedikit keletihan.
Program berlangsung di Tasik Putrajaya bersebelahan Yayasan Kepimpinan Perdana itu diadakan bersempena sambutan kelahiran ke-100 beliau pada 10 Julai lalu serta ulang tahun kelahiran ke-99 isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, pada 12 Julai.
Dr Mahathir tiba jam 7.45 pagi dengan memandu sendiri sebelum mengayuh basikal secara ‘tandem’ di sekitar tasik diiringi pegawai keselamatan khas.
Bagaimanapun, selepas menamatkan kayuhan sejauh kira-kira lapan hingga sembilan kilometer, beliau dilihat keletihan dan duduk berehat di kerusi seketika sebelum menuju ke meja sarapan yang disediakan.
Beliau dilihat meninggalkan program sebelum sempat beramah mesra dan bergambar dengan orang ramai yang hadir.
© New Straits Times Press (M) Bhd