Tun M nasihat pengundi tidak ambil ringan PRN Johor

Tun M nasihat pengundi tidak ambil ringan PRN Johor

yusri.muzamir@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan rakyat Johor supaya tidak mengambil ringan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, selain berpandangan ia akan memberi kesan besar kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bekas Perdana Menteri itu menerusi surat kepada pengundi Johor, berkata beliau menyedari wujud perasaan dalam kalangan orang ramai bahawa PRN Johor tidak memberi apa-apa kesan, tidak kira pihak yang berjaya menerajui kerajaan negeri.

Sebaliknya, beliau berkata, pilihan pengundi pada PRN Johor sangat penting dan akan menentukan parti yang bakal menerajui kerajaan negeri, selain memberi kebaikan kepada rakyat serta tidak merugikan bangsa, agama dan tanah air.

“PRN ini telah dirancang kumpulan dikenali sebagai kluster mahkamah dan kleptokrat dari UMNO. Tujuan mereka ialah memperkukuh kedudukan di negeri sebagai langkah awal sebelum PRU-15 nanti.

“Perancangan mereka ialah apabila menang di PRU nanti, mereka akan dapat mengguna kedudukan untuk menyelesai kes salah guna kuasa, pencurian wang dan harta rakyat,” katanya, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Rabu lalu, menetapkan PRN Johor diadakan pada 12 Mac ini dengan hari mengundi awal ditetapkan pada 8 Mac manakala penamaan calon pada 26 Februari ini.

PRN Johor perlu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor penggal ke-14 daripada Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat pada 23 Januari lalu.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, calon yang bertanding di atas tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan memberi kekuatan kepada kluster mahkamah dan kleptokrat, walaupun kumpulan terbabit tidak bertanding pada PRN Johor.

“Rakyat Johor telah menolak calon UMNO dan BN pada PRU-14 lalu kerana mereka tidak mahu bertindak dan mendesak Datuk Seri Najib Razak (bekas Perdana Menteri) untuk melepaskan jawatan dan sebaliknya terus mempertahankannya.

“Kali ini, mereka masih lagi mempertahan kleptokrat. Kerana itu parti saya, Pejuang Tanahair (PEJUANG) memyertai PRN Johor dan akan berusaha menyekat kleptokrat dan kluster mahkamah mencapai perancangan mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top