Tun M perlu berehat dua hingga tiga minggu – Mukhriz

Tun M perlu berehat dua hingga tiga minggu – Mukhriz

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu berehat beberapa minggu susulan tulang pinggulnya patah selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya, pagi semalam.

Anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pembedahan bukanlah pilihan yang baik ketika ini memandangkan usia negarawan itu sudah mencecah 100 tahun.

Menurut Mukhriz, insiden berlaku selepas Dr Mahathir selesai melakukan rutin senaman pagi sebelum terjatuh di rumahnya, menyebabkan kecederaan pada bahagian pinggul.

“Laporan yang kami terima daripada doktor di Institut Jantung Negara (IJN) mengesahkan beliau mengalami patah tulang pinggul.

“Disebabkan faktor usia, pakar menasihatkan supaya pembedahan tidak dilakukan,” katanya dalam kiriman video, hari ini.

Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah berkata, pakar perubatan dari IJN dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebaliknya mengesyorkan rawatan pemulihan yang memerlukan masa, namun dianggap lebih selamat untuk keadaan Dr Mahathir ketika ini.

“Tun (Dr Mahathir) perlu berehat sekitar dua hingga tiga minggu dan menjalani proses pemulihan secara berperingkat.

“Ia mungkin mengambil masa, tetapi matlamatnya supaya beliau kembali pulih dan sihat seperti sedia kala,” katanya.

Mukhriz pada masa sama merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan kesihatan bapanya serta menyampaikan mesej sokongan dan simpati kepada keluarga.

“Saya menerima banyak mesej daripada rakan-rakan dan juga individu yang tidak saya kenali, bukan sahaja kepada saya tetapi juga kepada ahli keluarga lain. Kami amat menghargai doa dan keprihatinan anda semua,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir dilaporkan dimasukkan ke IJN pada 9.30 pagi selepas terjatuh ketika bergerak dari balkoni untuk ke ruang tamu kediamannya.

Penilaian perubatan kemudiannya mengesahkan bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu mengalami patah tulang di bahagian pinggul kanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top