Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kesalahan sebenar bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin sehingga usaha merampas dan memburukkan namanya berterusan walaupun beliau telah meninggal dunia.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, Anwar tidak mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman ke atas Daim, sebaliknya hanya mahkamah berhak berbuat demikian selepas perbicaraan.
Dr Mahathir turut menempelak tindakan merampas harta seseorang hanya kerana perasaan ragu seorang Perdana Menteri, yang menurutnya menyalahi undang-undang dan disifatkan sebagai satu bentuk pencurian.
“Walaupun nama tidak disebut tetapi harta yang dirampas memang milik Tun Daim. Menjadi hak dan tanggungjawab masyarakat menjelas kesalahan Kerajaan.
“Tun Daim sudah tidak ada. Oleh itu beliau tidak dapat pertahan diri. Kerana itu Kerajaan Anwar dapat menuduh dengan selamat,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Dr Mahathir berkata, umum mengetahui bahawa Daim sudah pun kaya sebelum menjadi menteri dan telah menyerahkan perniagaannya kepada pihak lain semasa berada dalam kerajaan.
Katanya, selepas tidak lagi menjadi menteri, Daim kembali berniaga di luar negara bagi mengelak tuduhan menerima keistimewaan.
Malah, jelas beliau, tiada sebarang skandal melibatkan Daim di mana-mana negara tempat beliau menjalankan perniagaan.
“Kalau mereka tidak ragu, tidak menuduh apa-apa kesalahan Daim, bagaimana Perdana Menteri Malaysia boleh ragu, buat tuduhan dan menjatuh hukum.
“Kabinet juga tidak ada hak menghukum,” katanya lagi.
Tun Mahathir pertahan Daim
Dalam masa sama, Dr Mahathir menyelar kenyataan kononnya kerajaan mahu membawa pulang wang Daim untuk rakyat, sedangkan tiada undang-undang yang membenarkan harta rakyat Malaysia di luar negara dirampas sewenang-wenangnya.
Artikel lain: Kenapa tak bersara? Saya sayang Malaysia sampai hujung nyawa – Tun Mahathir
Sebaliknya, beliau mendakwa rakyat kini melihat bagaimana kroni Perdana Menteri menerima kontrak kerajaan bernilai berbillion ringgit, selain kes-kes yang ditarik balik terhadap individu dituduh seleweng wang kerajaan.
“Ada pula orang yang sedang dituduh seleweng duit Kerajaan yang tiba-tiba ditarik balik tuduhan. Kalau ini bukan rasuah apakah makna rasuah.
“Anak Perdana Menteri diberi jawatan tanpa proses biasa,”ujar beliau.
Dr Mahathir turut menempelak Anwar agar berhenti mendabik dada sebagai pejuang rasuah sedangkan beliau sendiri didakwa merestui amalan rasuah, nepotisme dan kronisme.
Sumber: FB Dr. Mahathir bin Mohamad