Tune Protect, Ticket2U luas kerjasama perlindungan tiket ke Indonesia

Tune Protect, Ticket2U luas kerjasama perlindungan tiket ke Indonesia

Kuala Lumpur: Tune Protect Re (Tune Protect), anak syarikat insurans semula Pelancongan & Gaya Hidup terkemuka milik Tune Protect Group Berhad, melanjutkan kerjasamanya dengan Ticket2U ke Indonesia dengan pelancaran Ticket Refund Protection dan Sports Personal Accident (PA).

Pencapaian penting ini sejajar dengan pelan pengembangan serantau Tune Protect ke seluruh Asia Tenggara, sekali gus membawakan perlindungan insurans Indonesia kepada pengunjung acara melalui platform digital Ticket2U susulan kejayaan pelancaran perlindungan berkenaan di Malaysia pada awal tahun ini.

Pengembangan serantau ini menggambarkan komitmen berterusan Tune Protect untuk menjadikan insurans sesuatu yang mudah, senang diakses dan relevan dengan gaya hidup digital pengguna masa kini.

Dengan menyepadukan perlindungan terus ke dalam ekosistem Ticket2U, Tune Protect membolehkan pengunjung acara untuk merancang dan menikmati pengalaman mereka dengan lebih yakin serta memberi ketenangan fikiran yang lebih tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Tune Protect Re, Janet Chin berkata, berikutan kejayaan Ticket Refund Protection dan Sports PA di Malaysia, pihaknya berbesar hati untuk melanjutkan perlindungan ini ke Indonesia, sebuah negara dengan ekosistem acara langsung yang dinamik dan pesat berkembang.

“Kajian menunjukkan bahawa majoriti rakyat Indonesia gemar menghadiri konsert dan acara langsung, menggambarkan permintaan yang tinggi terhadap pengalaman hiburan dan pelancongan.

“Menerusi kerjasama ini, kami bermatlamat untuk memberikan ketenangan fikiran tambahan kepada pengunjung acara, dengan memastikan mereka dilindungi daripada apa-apa situasi yang tidak dijangka.

“Pelancaran ini mengukuhkan lagi kehadiran serantau kami, selaras dengan usaha berterusan untuk membina kerjasama strategik yang memastikan perlindungan lebih mudah diakses di seluruh Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan.

Menurut tinjauan Jakpat’s Music Concert Trends & Fan Behaviours 2025, minat terhadap hiburan langsung terus meningkat, dengan milenial dan Gen Z adalah majoriti pengunjung konsert.

Seramai 81 peratus responden turut menyatakan bahawa mereka gemar menghadiri festival muzik.

Bagi menggapai momentum ini, Tune Protect dan Ticket2U memperkenalkan lapisan jaminan tambahan untuk peminat dan pengembara.

Sementara itu, Pengarah Urusan Ticket2U Sdn Bhd, YC Chia berkata, Ticket2U Indonesia bermatlamat untuk membangunkan ekosistem tiket yang lebih pintar, selamat dan boleh dipercayai untuk penganjur mahupun pengunjung.

“Melalui kerjasama dengan Tune Protect, kami memberikan nilai tambah dan keyakinan yang lebih tinggi kepada semua yang menyertai acara melalui platform kami,” katanya.

Ticket Refund Protection kini tersedia untuk semua pelanggan Ticket2U di Indonesia, merangkumi pelbagai jenis acara termasuk konsert, festival, maraton, larian, persidangan, pameran dan kejohanan sukan.

Dengan harga hanya lima peratus daripada harga tiket, perlindungan ini melindungi pengunjung daripada apa-apa situasi tidak dijangka yang mungkin mempengaruhi kehadiran mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top