hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tunggakan sewa mencecah RM70 juta membabitkan penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di ibu kota di bawah memberi tekanan kepada penyelenggaraan dan pengurusan kemudahan komuniti.
Itu antara isu mendesak yang dibangkitkan pada sesi dialog bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama penduduk PA dan PPR Desa Rejang, hari ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, setakat ini jumlah tunggakan sewa sudah mencecah RM70 juta dan pihaknya sudah mengambil beberapa langkah termasuk mewujudkan usaha Task Force Culas Sewa (TFCS) bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
“Kami mengambil beberapa langkah termasuk memasang kunci air, mengeluarkan notis, mengadakan program advokasi kewangan serta pelan rundingan kepada penyewa bagi memastikan bayaran dijelaskan.
“Langkah ini penting supaya hasil kutipan sewa dapat dikembalikan kepada penduduk dalam bentuk perkhidmatan yang lebih baik,” katanya
pada Program Kesejahteraan Komuniti Bandar Selamat ‘Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bestari’ 2025 di Dewan Serbaguna PPR Desa Rejang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Maimunah berkata, hasil kutipan sewa penting kerana ia digunakan semula untuk menampung kos penyelenggaraan bangunan, pembaikan kemudahan awam dan perkhidmatan yang dinikmati penduduk di kawasan perumahan awam serta PPR.
Katanya, pihaknya tidak dapat meneruskan perkhidmatan itu jika bayaran sewa tidak dijelaskan penyewa dan berharap pihak terbabit juga memahami tanggungjawab berkenaan.
“Sebab itu kita beri peluang kepada penyewa untuk runding semula, ada ruang untuk bayar ikut kemampuan tetapi mereka juga perlu faham tanggungjawab itu.
“Kita laksanakan tindakan secara berperingkat, bukan terus keras. Kita mulakan dengan notis, beri advokasi dan baru kita pasang kunci air. Ia bertujuan untuk memastikan kutipan itu dapat disalurkan balik kepada penduduk sendiri,” katanya.
Pada sesi townhall itu, DBKL turut menerima aduan berkaitan penyelenggaraan bangunan, tahap kebersihan, keselamatan, kekurangan parkir kenderaan, masalah dadah dan peniaga tanpa kebenaran yang beroperasi di sekitar kawasan PPR.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya juga sedang menilai kemungkinan membuka peluang pemilikan rumah kepada penyewa yang benar-benar layak, terutama dalam kalangan mereka yang tidak berkeupayaan mendapatkan pinjaman perumahan.
“Sekiranya mereka mempunyai keupayaan, kita pertimbang cadangan agar mereka dapat memiliki kediaman yang didiami,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, program itu untuk meningkatkan kesedaran penduduk terhadap kepentingan keselamatan kejiranan serta memperkukuh kerjasama antara agensi penguat kuasa dan komuniti setempat.
Katanya, PDRM komited menggerakkan pendekatan berasaskan komuniti selaras prinsip Malaysia Madani bagi mewujudkan kawasan perumahan awam yang lebih selamat dan harmoni.
“Kita turut menggalakkan penggunaan sistem pemantauan seperti kamera litar tertutup (CCTV) serta aplikasi aduan seperti Volunteer Smartphone Patrol (VSP) untuk memudahkan saluran maklumat secara langsung daripada orang awam.
“Kita juga menggalakkan pembabitan penduduk secara aktif dalam Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Jawatankuasa Penduduk (JKP) bagi memastikan kesejahteraan kawasan kekal terjaga,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd