Bukit Mertajam: Polis kini mengesan seorang lelaki yang dipercayai menunggang sebuah motosikal curi, secara melawan arus di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan video itu tular di media sosial, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis menerima laporan berhubung video tular tersebut yang memaparkan aksi seorang lelaki menunggang motosikal secara melawan arus dari arah Permatang Pauh ke Seberang Jaya.
“Video berdurasi kira-kira seminit itu memaparkan seorang lelaki menunggang secara bersendirian di lorong tengah lebuh raya dipercayai dirakam oleh pemandu dari arah jalan bersebelahan pada 6.10 petang semalam (Khamis) sebelum ia tular.
“Pihak polis kemudiannya dimaklumkan bahawa polis peronda lebuh raya telah menemukan sebuah motosikal ditinggalkan di KM8.4 BKE dan siasatan awal pada nombor pendaftaran itu mendapati ia bersangkut dengan satu laporan kehilangan motosikal di kawasan Perai, pada Khamis,”katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Shafee berkata, setakat ini, polis belum menerima sebarang aduan dibuat oleh perakam atau mana-mana individu yang mempunyai butiran maklumat penunggang motosikal berkenaan dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Malay News
Social Media Updates



