Tunggu akibat ceroboh ‘rumah’ kami – Pemilik Kedah

Tunggu akibat ceroboh ‘rumah’ kami – Pemilik Kedah

KUALA LUMPUR – Pemilik Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd. Daud Bakar memberi amaran kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam insiden dokumen Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pasukan yang bocor di laman media sosial baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan, Mohd. Daud berkata, pihaknya akan melakukan apa sahaja dalam kerangka undang-undang Malaysia untuk melindungi pasukan daripada gangguan yang cuba dilakukan oleh pihak luar.

“Saya dan rakan-rakan pengurusan di KDA FC telah, sedang dan akan melakukan apa sahaja dalam kerangka undang-undang Malaysia bagi memelihara pasukan yang kami sayangi walaupun penyokong dan orang ramai tidak mengetahui segala tapak yang kami melangkah dalam isu kebajikan pemain, percukaian, perbelanjaan, perancangan dan impian.

“Kita tidak mahu dan kami tidak benarkan sesiapa pun menceroboh kubu dan rumah kami walaupun nampak miskin dan naif kerana kami percaya tanggungjawab kami yang pertama dan terakhir adalah kepada pasukan KDA FC dan bukan orang lain. Kami juga mahu mengurus pasukan Sang Kenari dengan fakta yang sahih dan bukan kepalsuan.

“Sesiapa yang cuba menceroboh pondok dan rumah kami yang mungkin nampak lemah, lembik dan goyang, tunggulah akibatnya. Semoga fakta dan data mengatasi helah dan tipu daya dalam kehidupan yang sementara ini,” kata beliau dalam hantaran di Facebook KDA FC.

Sebelum ini, wartawan sukan, Zulhelmi Zainal Azam mendedahkan Kedah mempunyai tunggakan cukai LHDN sehingga menjejaskan pergerakan jurulatih dan pemain ke luar negara.

KDA FC dalam satu kenyataan menafikan sekeras-kerasnya mengenai tunggakan cukai tersebut dan bakal mengambil tindakan selaras dengan undang-undang bagi membersihkan nama dan imej KDA FC.

Satu notis tuntutan atas kenyataan fitnah akan diserahkan dalam masa terdekat.

“Menerusi ciapan beliau, satu salinan dokumen dengan kepala surat dari Lembaga Hasil Dalam Negeri kepada Kedah Darul Aman FC bertarikh 24 Ogos 2022 berkenaan Potongan Cukai Berjadual (PCB) 2021 hingga 2022.

“Dokumen sulit yang diperolehi secara tidak sah ini telah memberi gambaran buruk kepada kelab seterusnya tanpa fakta menyeluruh berkenaan kandungan surat tersebut. Hanya satu mukasurat dikongsi wartawan berkenaan.

“Pihak KDA FC sentiasa menjaga kebajikan pemain dan sentiasa bertanggungjawab atas semua tanggungan termasuklah pembayaran gaji dan cukai pendapatan,” kata kelab itu. – MalaysiaGazette