Tunggu lima tahun lagi untuk persempadanan semula, kata bekas pengerusi SPR

Bekas pengerusi SPR Ab Rashid Ab Rahman berkata, kali terkahir persempadanan semula kawasan pilihan raya dibuat adalah sebelum PRU14 lepas.

PETALING JAYA: Cadangan PAS untuk melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya di beberapa negeri majoriti Melayu belum boleh dilakukan, kata bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Minta boleh, tetapi buat tak boleh,” kata Ab Rashid Ab Rahman kepada FMTberhubung cadangan tersebut.

Beliau berkata, ini kerana menurut Perlembagaan Persekutuan, persempadanan semula hanya boleh dilakukan lapan tahun selepas kali terakhir ia dilakukan.

“Kali terakhir sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14), saya rasa baru tiga tahun. Kena tunggu lima tahun lagi,” katanya yang juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC).

Ab Rashid merujuk kepada cadangan PAS agar persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan di beberapa negeri majoriti Melayu bagi menambah bilangan kerusi di Parlimen, seperti dilaporkan akhbar Berita Harian.

Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah berkata, cadangan persempadanan semula itu sudah lama dibuat, dan ia diperlukan kerana ada kawasan yang sudah bertambah bilangan pengundi.

Pada 2019, pengerusi SPR ketika itu, Azhar Azizan Harun berkata, suruhanjaya itu sedang mengkaji sama ada persempadanan semula kawasan pilihan raya boleh dilakukan dalam tempoh dua tahun berbanding setiap lapan tahun, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Antara kajian yang dilakukan adalah kesannya ke atas ekonomi, hubungan kaum serta trend pengundian semasa, menurut beliau.

Perlembagaan Persekutuan menetapkan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu diadakan tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 10 tahun selepas persempadanan semula sebelumnya.