am@hmetro.com.my
S elayang: “Isteri saya yang mengandung disuruh berdiri selama 20 minit dan hanya diberi kerusi selepas penyelia pasar raya itu datang, hanya kerana pekerjanya menuduh isteri saya mencuri,” kata seorang lelaki ingin dikenali Fareez, 25.
Dalam kejadian jam 5.30 petang semalam, dia bersama isterinya berusia 23 tahun ke pasar raya di Selayang itu untuk membeli barang sebelum berlaku insiden isterinya dituduh mencuri barang kononnya disorok di dalam pakaian.
Menceritakan semula kejadian itu, Fareez berkata, pada awalnya mereka berada di kaunter pembayaran selepas membeli barang dan ingin membuat pembayaran tiba-tiba datang tiga individu menahan mereka.
Menurutnya, salah seorang pekerja lelaki itu terus menuduh isterinya menyembunyikan barang di dalam pakaian.
“Saya ketika itu mula tidak berpuas hati selepas dituduh seperti itu dengan percakapan yang agak kasar sedangkan apa yang dia cakap itu adalah fitnah.
“Saya kemudian memberitahu mereka isteri mengandung dan tidak menyorokkan barangan namun mereka tidak percaya dan meminta menunjukkan bukti buku merah jambu atau tunjuk perut isteri saya untuk dilihat mereka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Katanya, tindakan mereka itu menyebabkan dia mula hilang sabar dan meminta mereka memanggil penyelia dan bertanya siapa yang melihat isterinya mengambil barang.
“Pekerja lelaki itu kemudian memberitahu pekerja wanita yang melihat dan saya terus meminta pekerja wanita yang memfitnah isteri saya dan penyelia datang bertemu kami.
“Kemudian saya lihat lelaki itu menghubungi penyelianya namun mengambil masa yang agak lama sehingga 20 minit malah isteri saya yang mengandung juga disuruh berdiri,” katanya.
Menurut Fareez, selepas pekerja wanita itu datang, dia terus bertanya di mana bukti menuduh isterinya mengambil barang namun wanita itu hanya memberitahu perut isteri tidak seperti mengandung tetapi menyorok barang.
“Akibat kejadian itu isteri saya yang trauma menangis dan saya terus meminta pekerja terbabit meminta maaf namun permohonan maaf mereka juga seperti orang tidak rasa bersalah memperlakukan kami seperti ini.
“Saya yang bimbang dengan keadaan isteri saya yang tertekan kemudian terus beredar,” katanya.
Terdahulu insiden itu turut tular di media sosial yang mendapat pelbagai reaksi netizen.
Sementara itu, Harian Metro sedang mendapatkan penjelasan daripada pasar raya terbabit berhubung kejadian tular itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




