Tunku Mahkota Ismail calon terbaik Presiden FAM – Sayf

Tunku Mahkota Ismail calon terbaik Presiden FAM – Sayf

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Nama pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terus dilaungkan sebagai calon paling layak bagi mengemudi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada kongres pemilihan badan induk itu pada 15 Februari depan.

Pandangan itu disuarakan pemerhati bola sepak tempatan yang juga bekas Ketua Jabatan Pemasaran dan Tanggungjawab Sosial FAM, Sayf Ismail apabila Tunku Mahkota Ismail adalah individu sesuai mengisi kekosongan itu, selepas Tan Sri Hamidin Mohd Amin mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatannya sebagai Presiden.

“Saya fikir Tunku Ismail sudah semakin matang dan dewasa dalam menguruskan FAM selepas sebelum ini pernah menjadi Presiden FAM.

“Dengan kejayaan demi kejayaan diraih JDT termasuk layak konsisten ke ACLE (Liga Juara-Juara Asia Elit) dan fasiliti latihan dan stadium yang terbaik, Tunku Ismail tokoh paling sesuai.

“Malah, perkara paling penting adalah tata kelola dan pengurusan Tunku Ismail cukup baik apabila elemen inilah yang sebenarnya perlu ada dalam FAM,” katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar turut menyuarakan cadangan agar Tunku Mahkota Ismail kembali mengemudi FAM selepas memegang jawatan itu pada 2017 hingga 2018.

Ketika ini, difahamkan calon hangat untuk menggantikan Hamidin adalah Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub yang dikatakan meraih sokongan padu majoriti ahli gabungan FAM.

Ujar Sayf, seandainya Tunku Ismail tidak berminat mengisi kekosongan itu, beliau berharap Tunku Ismail dapat menzahirkan secara terbuka memberi peluang mana-mana individu yang mahu bertanding khususnya jawatan Presiden.

“Saya berpandangan, kalau boleh Tunku Ismail menyatakan pendirian baginda adakah ingin bertanding ataupun tidak.

“Jika tidak, saya berharap Tunku Ismail dapat buat seperti Hamidin yang menyatakan untuk memberi peluang kepada sesiapa bertanding.

“Mungkin dengan kenyataan itu, ia akan memberi satu isyarat pemilihan kali ini tidak akan dipengaruhi oleh sentimen tertentu, sekali gus membuka peluang kepada mana-mana individu bertanding,” katanya.

Menurutnya, FAM memerlukan seorang calon yang mempunyai pengalaman luas terutama dalam bidang korporat untuk memacu badan induk bola sepak negara itu.

“FAM sebenarnya banyak duit tetapi memerlukan pengurusan tatakelola yang efisien. Saya pernah berkerja di FAM dan saya tahu isu utama hanyalah tentang tatakelola sahaja.

“Individu ada pengalaman korperat yang bagus boleh membawa FAM ke tahap yang baik. Biarlah orang muda dan jika Tunku Ismail tidak mahu, saya lihat Khairy Jamaluddin antara calon sesuai selepas Tunku Ismail,” katanya.

Ditanya mengapa tidak melihat pemilik kelab Belgium, KV Kortrijk iaitu Tan Sri Vincent Tan sebagai calon, Sayf menganggap jawatan Presiden FAM memerlukan individu sepenuh masa seperti mana dilakukan Hamidin yang setiap hari berada di pejabat dan bukannya separuh masa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top