Tunku Mahkota Ismail sindir supaya 'bubar liga, boikot beramai-ramai'

Tunku Mahkota Ismail sindir supaya 'bubar liga, boikot beramai-ramai'

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail secara sinis mahu pihak tertentu melakukan tindakan memboikot liga dalam tempoh terdekat ini.

Malah, Tunku Mahkota Ismail secara sinis mencadangkan supaya Liga Malaysia dibubarkan, sekali gus boleh menunjukkan kepada dunia mentaliti sebenar budaya bola sepak di negara ini.

“Masih ada masa lagi untuk bubar liga. Boikot beramai-ramai. Tunjuk kepada dunia mentaliti bola sepak Malaysia,” titah Baginda menerusi laman X, hari ini.

Selain itu, tanpa berselindung, Tunku Mahkota Ismail turut berkongsi gambar yang menunjukkan kemungkinan JDT bakal terus bergelar juara untuk musim 2025/2026.

Sebelum ini dikatakan terdapat gerakan untuk memboikot saingan Liga Super kerana hanya didominasi JDT sejak 10 tahun lalu.

Baginda menganggap mentaliti seperti itu memalukan dan bertentangan dengan semangat persaingan yang seharusnya ada dalam kalangan pasukan bola sepak tempatan.

Menurut baginda, semua pasukan bola sepak di Malaysia sepatutnya bersikap lebih profesional dan berusaha untuk bersaing mengikut kemampuan sendiri, bukan menyalahkan sistem atau menuduh pihak lain mendominasi secara tidak adil.

Tunku Mahkota Ismail sebelum ini beberapa kali mengkritik landskap bola sepak negara yang masih jauh ketinggalan berbanding negara serantau seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam sama ada daripada segi pembangunan akar umbi, fasiliti mahupun pengurusan profesional.

Pada masa sama, baginda pernah menggesa agar pendekatan lebih berani dan radikal diambil bagi merombak sistem yang sedia ada jika Malaysia mahu melihat kemajuan yang mampan serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top