Tunku Syed Razman tawar diri kekal terajui PBNS

bhsukan@bh.com.my

SEREMBAN: Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri menawarkan diri untuk terus kekal menerajui Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) bagi penggal akan datang.

Beliau menyatakan hasrat itu menjelang pemilihan badan induk berkenaan pada Kongres Tahunan PBNS Ke-88 yang dijadualkan 17 Februari ini.

Tunku Syed Razman berkata keputusan itu susulan kejayaan beliau membawa Negeri Sembilan FC (NSFC) menjadi juara Liga Perdana musim lalu sekali gus melayakkan mereka bersaing dalam Liga Super musim ini.

“Saya bertanggungjawab untuk memastikan pasukan Negeri Sembilan kekal bersaing di saingan Liga Super pada masa akan datang dan akan memastikan pasukan itu dapat memberikan saingan sengit kepada pasukan lain.

“Sekiranya mandat penggal baharu dapat diperoleh, fokus saya berikutnya adalah terhadap pemantapan program pembangunan di peringkat akar umbi.

“Ia membabitkan penganjuran liga tempatan, program kejurulatihan, pembangunan pengadil, bola sepak wanita, bola sepak pantai, futsal serta ditambah dengan beberapa inisiatif lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tunku Syed Razman adalah individu pertama yang memegang jawatan Presiden PBNS selepas perlembagaan persatuan itu digubal pada 2015.

Melalui pengubalan itu Menteri Besar NS tidak lagi dilantik secara automatik sebagai presiden PBNS sebaliknya sesiapa sahaja layak untuk bertanding jawatan berkenaan.

Sejak menerajui PBNS bagi tempoh 2018 hingga 2021, beliau turut menyumbang kepada pembangunan akar umbi melalui Akademi NS Soccer yang kini mempunyai lebih 270 pelatih berusia antara lima hingga 17 tahun.

Selain itu, usaha juga dilakukan membabitkan pasukan bola sepak wanita yang sedang membuat persiapan bagi menghadapi Kejohanan Bola Sepak Piala Tun Sharifah Rodziah, tidak lama lagi.

Tunku Syed Razman yang juga Pengerusi NSFC mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Negeri Sembilan dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Timbalan Presiden PBNS, Datuk Dr Razali Ab Malik yang sentiasa memberikan sokongan terhadap PBNS.

“Saya berharap sokongan dan kerjasama ini dapat diteruskan bagi penggal yang akan datang demi pembangunan dan kemajuan bola sepak Negeri Sembilan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd