Tuntutan mentaliti ulilamri dalam Islam

Tuntutan mentaliti ulilamri dalam Islam

Ketaatan kepada pemerintah adalah merupakan suatu perkara yang amat signifikan bagi sesebuah negara. Ketaatan ini merangkumi aspek sosio ekonomi, kemasyarakatan, politik, pentadbiran dan sebagainya. Ia merupakan tuntutan agama yang perlu difahami secara holistik berlandaskan kepada kematangan pemikiran dan tindakan serta diikuti dengan nilai tanggungjawab yang tinggi.

 Islam sebagai suatu sistem kehidupan yang menyeluruh (syumul) telah menetapkan bahawa taat setia kepada pemerintah merupakan sebahagian daripada manifestasi ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Hal ini diperjelas melalui firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’, ayat 59 yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah, dan taatilah Rasul (Nya), serta ulil amri (pemerintah) dalam kalangan kamu.”

 Ayat ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada pemerintah merupakan elemen penting dalam sesebuah pemerintahan Islam. Istilah ulil amri merujuk kepada individu atau institusi yang diberi mandat untuk melaksanakan tanggungjawab kepemimpinan dan pentadbiran urusan masyarakat. Ulil amri bermaksud pemerintah atau penguasa yang sah atau dalam istilah modennya adalah Yang di Pertuan Agong, Raja-Raja, Perdana Menteri atau pemerintah utama pada satu-satu tempat, negeri mahupun negara.

 Ibnu Kathir dan Fakhruddin al-Razi menyatakan bahawa ketaatan kepada ulil amri hanyalah terikat dengan ketaatan mereka kepada Allah SWT serta Rasul-Nya iaitu berkaitan dengan perkara-perkara yang makruf sahaja dan bukan dalam perkara-perkara maksiat.

 Dalam konteks negara ini, Kerajaan telah memperkenalkan pendekatan Malaysia MADANI yang menekankan prinsip kemampanan, kesejahteraan dan nilai-nilai murni sebagai asas pembinaan negara bangsa yang progresif dan berdaya maju. Keamanan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum harus dipelihara demi menjamin kelestarian dan keutuhan negara merangkumi aspek ekonomi, sosial, keselamatan, pertahanan, penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran awam serta pengurusan kewangan, perbendaharaan negara dan sebagainya.

 Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga telah memperkenalkan Pelan Transformasi AlFalah yang merupakan kerangka strategik lima tahun (2023–2027) bagi mengukuhkan sistem tadbir urus hal ehwal Islam di Malaysia selari dengan gagasan Malaysia MADANI. Ia disusun di atas lima teras utama iaitu Pentadbiran Islam Mampan, Kesejahteraan Insan, Kemuliaan Syariah, Kepimpinan Berdaya Cipta dan Kehormatan Institusi Islam yang melibatkan pelaksanaan oleh 14 buah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

 Pelaksanaan kedua-dua dasar ini adalah mencerminkan betapa pentingnya rakyat untuk mentaati dan menghormati pemimpin selagi mereka membawa agenda kebaikan kerana ketaatan kepada pemimpin yang adil adalah merupakan prinsip asas dalam pembentukan sesebuah negara Islam demi menjamin kestabilan dan kemajuan sesebuah negara serta kesejahteraan masyarakat. Dalam konteks pemerintahan Islam, ketaatan ini tidak hanya bersifat politik, bahkan mempunyai dimensi spiritual dan sosial yang mendalam.

 Pada dimensi yang lain, rakyat masih diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan dan teguran terhadap pemerintah, namun ia perlu dilakukan dengan beradab dan berhikmah. Ini berlandaskan kepada hadis Nabi SAW daripada Abu Ruqayyah bin ‘Aus al-Dari R.A, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:  “Agama itu merupakan nasihat.” Kami bertanya: “Untuk siapa?” Sabda Baginda: “Bagi Allah, Kitab-Kitabnya, Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin orang Islam dan masyarakat semuanya.” (Riwayat Imam Muslim)

Menurut Imam al-Nawawi makna nasihat untuk para pemimpin umat Islam dalam hadis ini adalah tolong-menolong bersama mereka dalam urusan kebenaran, mentaati arahan mereka dalam kebenaran, menegur dan mengingatkan mereka dengan cara lemah-lembut.

 Dalam era globalisasi yang dipacu oleh kepesatan teknologi digital dan media sosial, sebaran maklumat yang pantas dan meluas melalui pelbagai platform dalam talian telah mengakibatkan penyebaran maklumat yang tidak sahih berleluasa. Terdapat serangan persepsi yang boleh menggugat kewibawaan institusi kepimpinan negara. Fenomena ini turut disertai oleh budaya kritikan secara terbuka kepada semua pihak yang akhirnya meracuni pemikiran masyarakat.

Situasi ini menjadi lebih membimbangkan apabila pelbagai isu disebarkan tanpa memastikan kesahihan fakta yang berkaitan. Justeru itu, masyarakat perlu membina keupayaan intelektual dan akhlak yang mulia serta berdisiplin dalam menilai dan menyaring sesuatu maklumat agar tindak balas terhadap isu-isu semasa tersebut dibuat dengan rasional dan berpaksikan nilai-nilai Islam.

 Ketaatan kepada pemerintah merupakan suatu nilai fundamental dalam ajaran Islam yang berperanan penting dalam menjamin kestabilan, keharmonian dan kelangsungan sesebuah negara. Ia merupakan asas kepada pembentukan sistem pemerintahan yang teratur, aman dan sejahtera. Oleh itu, kita perlu memahami konsep ketaatan ini secara holistik dan seimbang, dengan mengambil kira prinsip keadilan dan tanggungjawab bersama antara pemerintah dan rakyat.

Penulis Ketua Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top