Tuntutan nafkah dan mutaah Zehra Zambri, bekas suami ditangguh 8 April depan

Tuntutan nafkah dan mutaah Zehra Zambri, bekas suami ditangguh 8 April depan

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Bangi : Sebutan kes tuntutan nafkah dan mutaah penyanyi, Zehra Zambri, 39, terhadap bekas suaminya, Nur Mohd Iqwan Samsudin, 43, di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, di sini, hari ini ditangguhkan pada 8 April depan.

Peguam Syarie mewakili Zehra iaitu Abd Muiz Samsuri berkata anak guamnya selaku plaintif membuat tuntutan di atas tiga perkara iaitu nafkah anak, nafkah idah dan mutaah kepada defendan.

“Mengenai tuntutan ini adalah sebutan kali pertama. Malah, pihak-pihak iaitu di sebelah defendan (Nur Mohd Iqwan) dikehendaki memfailkan pembelaan. Hari ini, Alhamdulillah pihak kita (plaintif) juga sudah menerima pembelaan yang dibuat berkenaan.

“Jadi, pihak anak guam saya turut diarahkan untuk menjawab pembelaan itu. Maka, sebutan kedua ditetapkan pada 8 April depan,” katanya kepada Harian Metro ditemui di perkarangan mahkamah di sini, hari ini.

Terdahulu, proses sulh atau mediasi membabitkan tuntutan nafkah dan mutaah berkenaan yang berlangsung pada 8 Januari lalu tidak mencapai apa-apa persetujuan daripada kedua-dua belah pihak.

Sebelum ini, ketika proses sulh itu difahamkan pihak Nur Mohd Iqwan (defendan) tidak bersetuju dengan tuntutan daripada Zehra (plaintif).

Pada 20 Ogos tahun lalu, Zehra sah bercerai talak satu dengan bekas suami selepas memfailkan permohonan cerai pada 7 Mac, tahun yang sama kerana tiada persefahaman.

Mereka yang masing-masing bertemu jodoh kali kedua berkahwin pada 10 November 2021. Hasil perkahwinan itu, Zehra dan Nur Mohd Iqwan dikurniakan seorang anak perempuan, Zahiyah Iqleela, 3.

Zehra pernah berkahwin kali pertama dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri Wan Mohd Effendi pada 14 Oktober 2017, namun bercerai pada April 2018 dan tidak mempunyai cahaya mata.

Manakala, Nur Mohd Iqwan juga pernah berumah tangga dan mempunyai dua anak hasil daripada perkahwinan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top