zatuliffah@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Terengganu merekodkan sebanyak 157 kes pemfailan tuntutan pengguna bernilai RM2.04 juta.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, ia membabitkan kes pemfailan bermula Januari hingga 20 Oktober lalu.
Beliau berkata, menerusi itu, kes tuntutan membabitkan pakej umrah/haji mencatatkan tuntutan tertinggi iaitu sebanyak 60 kes dengan nilai tuntutan kira-kira RM1.1 juta diikuti 14 kes barang kemas (RM130,000) dan 12 kes pembinaan rumah membabitkn tuntutan bernilai RM415,000.
“Biasanya kalau yang pakej umrah/haji, pengguna tertipu apabila pakej yang ditawarkan terlalu murah dengan tawaran yang adakalanya tidak masuk akal dan tidak munasabah.
“Selain itu, kes pemfailan lain yang diterima adalah membabitkan kes pakaian, pelaburan, bengkel kereta, alat ganti kenderaan, telefon dan barangan elektrik,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Advokasi TTPM di pejabat KPDN Terengganu di sini, hari ini.
Saharuddin berkata, tahap kesedaran pengguna juga semakin tinggi dan mula cakna tentang platform yang disediakan kerajaan dalam memastikan hak mereka sebagai pengguna terpelihara dan terbela.
Katanya, ia dapat dilihat menerusi peningkatan jumlah kes pemfailan tuntutan pengguna yang diterima pihaknya.
“Untuk rekod, sebanyak 156 kes pemfailan diterima pada 2023 (nilai tuntutan kira-kira RM2 juta), 130 kes pada 2022, 94 kes pada 2021 dan 90 kes pada 2020 yang mana bilangan kes pemfailan tuntutan menunjukkan peningkatan setiap tahun,” katanya.
Saharuddin berkata,TTPM adalah platform alternatifkepada Mahkamah Sivil untuk pengguna membuat tuntutan tebus rugi berkenaan dengan pembelian barang atau memperoleh perkhidmatan secara mudah, kos efektif dan murah serendah RM5 sahaja bagi setiap pemfailan tuntutan.
Katanya, bidang kuasa TTPM pula adalah untuk mendengar tuntutan yang jumlah amaunnya tidak melebihi RM50,000 dan tuntutan yang terakru dalam masa tiga tahun daripada tuntutan itu.
“Pengguna yang ingin menyelesaikan pertikaian membabitkan perniagaan tertentu boleh memfailkan tuntutan dengan mengisi Borang Pernyataan Tuntutan (Borang 1) yang boleh diperoleh secara percuma dari semua Pejabat Pendaftaran Tribunal dan boleh dimuat turun daripada portal TTPM.
“Selain itu, pengguna juga boleh memfailkan tuntutan secara dalam talian melalui sistem e-Tribunal di laman sesawang https://ttpm.kpdn.gov.my.
“Jadi kita berharap platform ini dapat diuar-uarkan supaya lebih ramai lagi pengguna tampil membuat pemfailan tuntutan mereka dan tidak hanya berdiam diri apabila dimanipulasi oleh peniaga yang cuba mengambil kesempatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




