Tuntutan palsu bina lebuh raya: SPRM sita aset mewah Tan Sri bernilai RM32 juta

Tuntutan palsu bina lebuh raya: SPRM sita aset mewah Tan Sri bernilai RM32 juta

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelbagai aset termasuk kenderaan mewah, barangan kemas, beg tangan berjenama dan wang tunai bernilai RM32 juta disita daripada seorang Tan Sri yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung tuntutan palsu dan salah guna bon pinjaman bagi pembinaan sebuah lebuh raya di Lembah Klang.

Menurut sumber, kesemua barangan mewah itu diperoleh pegawai penyiasat Bahagian Siasatan SPRM selepas menyerbu dua kediaman milik Tan Sri itu yang terletak di ibu negara, hari ini.

“SPRM menyita sembilan kenderaan mewah seperti Bentley, Mercedes-Benz dan Range Rover bernilai hampir RM7 juta.

“Menerusi penggeledahan itu, SPRM turut menyita 217 unit jam tangan mewah pelbagai jenama yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM5 juta, 27 unit tas tangan bernilai lebih RM1 juta dan barangan kemas berjumlah lebih RM4 juta,” katanya.

Dalam serbuan sama, sumber berkata, SPRM turut menemui sebuah stor simpanan pelbagai jenis minuman beralkohol mewah di salah sebuah kediaman yang dipercayai bernilai kira-kira RM3 juta.

Katanya, barangan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penggubahan wang haram.

“Dalam tindakan yang dijalankan itu juga, SPRM membuat sitaan ke atas sebuah unit kediaman mewah terletak di ibu negara dianggarkan bernilai RM12 juta,” katanya.

Katanya, kesemua barang dan aset disita bagi tujuan siasatan lanjut mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

Bulan lalu, media melaporkan empat individu termasuk seorang Datuk Seri ditahan kerana disyaki membuat tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM360 juta.

Kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 50-an hingga 70-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM.

Keempat-empat suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM360 juta menggunakan dana sukuk dalam sebuah projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM1.30 bilion antara 2016 hingga 2017.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, SPRM membuka tiga kertas siasatan sebaik siasatan bermula pada 9 Mei lalu.

Beliau dilaporkan berkata, dalam siasatan itu wang tunai berjumlah RM1.9 juta, dua kereta mewah bernilai RM900,000 dan akaun bank bernilai RM34 juta disita SPRM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top