Tuntutan Sulu boleh ancam keselamatan, Kerajaan Malaysia lapor polis

Tuntutan Sulu boleh ancam keselamatan, Kerajaan Malaysia lapor polis

PUTRAJAYA: Ketua Pegarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri membuat laporan polis terhadap penuntut-penuntut warga Filipina yang mendakwa waris Jamalul Kiram II (Sultan Sulu) terhadap Malaysia.

Sekretariat Khas JPM dalam kenyataan memaklumkan, laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya itu atas sebab tuntutan tersebut merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara.

Tegasnya, ia susulan daripada tindakan tuntutan yang difailkan oleh penuntut-penuntut melalui Notis Timbang Tara yang diserahkan kepada Kerajaan Malaysia pada 30 Julai 2019 melibatkan anggaran tuntutan melebihi AS$32 bilion.

“Rentetan daripada insiden pencerobohan di Lahad Datu, Kerajaan Malaysia mengisytiharkan Kumpulan Royal Sulu Force (RSF) sebagai entiti pengganas yang terbabit dalam tragedi pencerobohan di Sabah pada 2013.

“Manakala, salah seorang penuntut iaitu Fuad A. Kiram juga diklasifikasikan sebagai pengganas di bawah Seksyen 66B Akta Pencegahan Penggubalan Wang Haram Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLAATFUAA) pada 6 April 2023,” katanya hari ini.

Sekretariat Khas turut memaklumkan, objektif laporan polis ini dibuat dengan mengambil kira wujudnya elemen sabotaj ke atas ekonomi dan ancaman kepada keselamatan negara.

Katanya, ia melalui tindakan agresif penuntut-penuntut yang dipercayai bersubahat dengan menyalah guna proses timbang tara antarabangsa.

“Susulan daripada laporan ini, dipercayai satu siasatan jenayah akan dimulakan oleh pihak berkuasa demi menjamin keamanan, keselamatan dan kestabilan negara,” katanya. – UTUSAN