Tupai salai diseludup masuk dari Indonesia, dirampas

Tupai salai diseludup masuk dari Indonesia, dirampas

BAYAN LEPAS – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menggagalkan cubaan membawa masuk tupai salai tanpa permit import di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di sini, hari ini.

Maqis dalam satu kenyataan media berkata, rampasan itu dilakukan hasil kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melalui bantuan mesin pengimbas dan pemeriksaan yang dilakukan oleh pegawai Maqis di LTAPP.

Katanya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan tupai salai dengan anggaran berat lapan kilogram dalam bagasi milik seorang penumpang dari Indonesia.

Kesemua tupai salai itu ditemui dalam penumpang wanita dari Indonesia.

“Siasatan mendapati kesemua tupai salai yang bernilai RM1,500 itu dibawa masuk untuk dijadikan makanan untuk penumpang itu sendiri.

”Wanita itu dilepaskan sebaik siasatan selesai dan kes disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu mengimport keluaran hasilan pertanian tanpa permit yang sah

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Maqis sentiasa mengambil langkah serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam sektor pertanian negara.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang bagi memastikan keselamatan industri pertanian dan makanan negara terjamin,” katanya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top