Tupperware rasmi tutup operasi di Indonesia

Tupperware rasmi tutup operasi di Indonesia
Tupperware rasmi tutup operasi di Indonesia

Tupperware Indonesia secara rasmi menghentikan operasinya selepas 33 tahun berada dalam kehidupan rumah tangga rakyat negara itu.

INDONESIA – Tupperware Indonesia secara rasmi menghentikan operasinya selepas 33 tahun berada dalam kehidupan rumah tangga rakyat negara itu.

Menurut Kompas.com, pengumuman tersebut dimaklumkan menerusi hantaran di akaun Instagram pada Isnin.

Pihak pengurusannya berkata, tempoh tersebut tidak singkat kerana jenama tersebut telah menjadi sebahagian daripada detik berharga keluarga di Indonesia.

“33 tahun bukanlah waktu yang singkat. Dalam tempoh itu, Tupperware telah menjadi sebahagian daripada dapur, meja makan dan kenangan berharga keluarga Indonesia,” katanya.

Tambahnya, penamatan operasi itu bukan atas keputusan sendiri, sebaliknya sebahagian daripada langkah global yang diambil oleh syarikat induk Tupperware di Amerika Syarikat (AS).

Katanya, Tupperware menyatakan bahawa keputusan menghentikan operasi sudah dilakukan di kebanyakan negara.

“Keputusan ini adalah sebahagian daripada langkah global syarikat. Tupperware Indonesia telah menghentikan aktiviti perniagaannya secara rasmi sejak 31 Januari 2025.

“Langkah ini menandakan berakhirnya perjalanan panjang jenama yang sinonim dengan produk bekas makanan dan minuman yang inovatif serta popular terutama dalam kalangan suri rumah,” ujarnya.

Sebelum ini, syarikat induk Tupperware di AS telah memfailkan permohonan muflis pada September 2024, susulan kerugian berterusan yang dialami dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Jenama berkenaan juga berdepan saingan sengit daripada pelbagai jenama baharu yang menawarkan produk serupa.

Dalam pada itu, krisis kewangan Tupperware Global turut menjejaskan operasi di kebanyakan cawangannya di seluruh dunia, termasuk Indonesia.

Oleh itu, Tupperware Indonesia menzahirkan penghargaan kepada rakyat negara itu atas sokongan yang diberikan selama ini.

“Kenangan selama 33 tahun ini akan selalu menjadi sebahagian daripada cerita indah kami.

“Terima kasih telah menjadikan Tupperware lebih daripada sekadar produk. Anda telah membuatnya menjadi sebahagian daripada keluarga, kenangan dan cerita yang penuh makna,” katanya.

Scroll to Top