Lima penyanyi popular Indonesia iaitu Tulus, Sal Priadi, Kunto Aji, Dere dan Gita semakin berdebar menantikan kemunculan pertama mereka sebagai satu kumpulan di Malaysia menerusi Tur SAMA SAMA pada malam ini, 5 Disember 2025.
Persembahan itu bakal menampilkan kepelbagaian genre muzik yang dirangka khas untuk peminat tempatan.
Tulus, yang mempunyai pengikut besar di Malaysia, yakin sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat sebelum ini akan diterjemahkan kepada sambutan luar biasa untuk Tur SAMA SAMA.
“Kami sangat bersyukur kerana Tur SAMA SAMA akhirnya dapat dibawa ke Malaysia pada 5 Disember. Selain rasa teruja, saya percaya komuniti peminat akan bertambah rapat kerana mereka sentiasa memberi sokongan kepada kami berlima. Mereka sangat penting dalam kejayaan Tur SAMA SAMA,” katanya.
Kunto Aji pula menyatakan bahawa persembahan kali ini disusun untuk menepati selera penonton Malaysia.

“Akan ada kejutan dan susunan persembahan juga berbeza daripada yang kami buat di beberapa kota di Indonesia. Ia bukan sekadar persembahan dari satu arah tetapi melibatkan interaksi dengan peminat,” jelasnya.
Bagi Gita, Tur SAMA SAMA menjadi ruang untuk mereka menyampaikan visi yang telah lama dibincangkan bersama.
“Tur ini membawa pelbagai mesej daripada lima pemuzik. Gabungan yang kami tampilkan ini dirasakan penting untuk dikongsi. Fokusnya bukan pada tahap populariti tetapi bagaimana karya kami boleh menyatukan komuniti peminat dan membuat mereka berkembang melalui sokongan terhadap konsep Tur SAMA SAMA,” katanya.
Dere menambah bahawa pentas mereka bukan tempat untuk bersaing, sebaliknya meraikan kepelbagaian.
“Kami mencipta Tur SAMA SAMA dengan pertukaran idea antara satu sama lain tanpa ada niat menenggelamkan sesiapa. Warna persembahan, keserasian di pentas dan pembahagian lagu juga diberikan secara seimbang. Jadi tidak timbul isu siapa lebih menonjol,” katanya.
Segalanya akan dipersembahkan kepada peminat pada 5 Disember nanti apabila Tur SAMA SAMA membuka tirai di Idea Live Arena, Kuala Lumpur.
Tiket dijual bermula RM228 untuk kategori Bronze sehingga RM1188 untuk kategori Emerald Extra, termasuk pilihan Grup Suite, bagi peminat yang ingin menyaksikan gabungan persembahan Tulus, Dere, Gita, Sal Priadi dan Kunto Aji secara langsung.
Penganjuran Tur SAMA SAMA dijalankan bersama oleh Expo Indo, Thrive dan Tiga Dua 1. Harga tiket ditawarkan dalam pelbagai kategori iaitu RM228 (Bronze), RM238 (Crystal), RM298 (Silver), RM318 (Diamond), RM398 (Gold), RM468 (Platinum), RM518 (Rubi), RM698 (Sapphire), RM988 (Emerald), RM1188 (Emerald Extra) serta Grup Suite. Tiket boleh diperoleh melalui BBO Events dan laman sesawang samasamatur.com.




