Turbo atau hibrid

Turbo atau hibrid

lizamridzuan@hmetro.com.my

Pasaran kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak di Malaysia kini semakin meriah dengan pelancaran rasmi Chery Tiggo Cross, sebuah model terbaharu yang menyasarkan pengguna tempatan berjiwa aktif, moden dan urban.

Model ini bukan sekadar kenderaan, ia direka sebagai elemen gaya hidup, menyatukan teknologi pintar, reka bentuk bergaya dan prestasi versatil dalam satu pakej dan ia sebahagian daripada strategi Chery untuk terus memperkukuh kedudukannya di pasaran global termasuk Malaysia.

Naib Presiden Chery Malaysia, Michael Chew berkata model ini sesuai untuk mereka yang gemar bergerak dan menjalani kehidupan penuh dinamik yang menampilkan gaya moden.

“Ia juga ditawarkan dengan ruang praktikal dan teknologi terkini yang sesuai untuk perjalanan bandar mahupun luar kota dan mengangkat slogan ‘Cross Wonderful Life’ dengan menyasarkan golongan yang menghargai keseimbangan antara kerja, gaya hidup aktif dan masa berkualiti bersama keluarga atau rakan,” katanya ketika pelancaran.

Daripada sudut reka bentuk, Tiggo Cross membawa inspirasi global dengan elemen aerodinamik dan gaya agresif tampak moden, namun kekal praktikal malah ia juga dilengkapi ciri keselamatan pintar, memberikan keyakinan kepada pemandu untuk mengemudi pelbagai situasi jalan raya.

Pelancaran ini turut memperkukuh pencapaian Chery Malaysia yang kini memiliki 58 cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan peningkatan drastik sejak kemunculan semula jenama itu pada Julai 2023.

Sehingga ke tempoh ini, Chery sudah memperkenalkan empat model utama ke pasaran Malaysia dan Chew memberi bayangan bahawa lebih banyak kejutan bakal diumumkan menjelang hujung tahun.

Kejayaan Tiggo Cross di peringkat antarabangsa turut membuktikan reputasi model ini yang kini sudah mencapai eksport sebanyak satu juta unit dari Pelabuhan Dalian, China adalah satu pencapaian besar buat Chery di pentas global.

Untuk pasaran Malaysia, Tiggo Cross ditawarkan dalam dua pilihan enjin iaitu varian petrol 1.5L Turbo dan varian hibrid CSH dan kedua-duanya memenuhi keperluan pemandu yang mencari keseimbangan antara kuasa, penjimatan dan gaya.

Varian petrol menampilkan enjin 1.5L Turbo berkuasa 147PS dan tork 210Nm, dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan Dual Clutch (DCT).

Penggunaan bahan api direkodkan pada kadar hanya 6.3L setiap 100 kilometer (km), sesuai untuk penggunaan harian atau perjalanan jauh.

Untuk pencinta teknologi hijau, varian Hybrid CSH menggunakan sistem Dedicated Hybrid Transmission (DHT), yang menggabungkan enjin petrol dan motor elektrik untuk kuasa gabungan sehingga 204PS dan 310Nm, dengan penggunaan bahan api sekitar 5.4L/100KM.

Ciri keselesaan dalaman turut diberi perhatian, termasuk sistem Kawalan Suhu Dwi-Zon dan panel kawalan suhu berasaskan sentuhan, menjadikan kawalan lebih mudah dan nyaman.

Sistem infotainmen dilengkapi skrin besar 20.5-inci dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto, serta pembantu suara bagi fungsi bebas tangan selain turut disokong pengecas tanpa wayar, port USB, tuil gear elektronik pelbagai dan kawalan audio di roda stereng.

Untuk aspek keselamatan, Tiggo Cross hadir dengan 16 fungsi Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) seperti Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC) dan Pengesan Titik Buta (BSD).

Harga yang ditawarkan bermula daripada RM88,800 untuk varian petrol, manakala varian hibrid ditawarkan pada RM99,800 dan kedua-duanya hadir dengan waranti 7 tahun atau 150,000KM, termasuk servis penundaan percuma selama 7 tahun.

Dalam acara sama, Chery Malaysia menyerahkan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada Dana Amanah Sukan Negara (KWASN) yang diterima oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh sebagai langkah mencerminkan komitmen Chery terhadap pembangunan belia dan industri sukan negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top