Turkish Aerospace berhasrat teruskan pemindahan teknologi penerbangan, pertahanan dengan Malaysia

Turkish Aerospace berhasrat teruskan pemindahan teknologi penerbangan, pertahanan dengan Malaysia

Langkawi: Syarikat aeroangkasa dan pertahanan, Turkish Aerospace, berharap dapat meneruskan pelaburan dan kerjasama dengan Malaysia untuk pembangunan teknologi generasi baharu, khususnya dalam industri pertahanan dan penerbangan.

Bercakap secara eksklusif kepada Bernama, Naib Presiden Pemasaran dan Komunikasi Korporat Turkish Aerospace Bertan Kurt berkata, syarikat itu juga bersedia melatih jurutera Malaysia di kilangnya di Ankara, bertujuan membantu Malaysia membangunkan reka bentuk dan keupayaan pembuatan jet tempurnya sendiri.

“Sebab kami berada di sini bukan hanya menjual produk, tetapi juga untuk sumber manusia. Kami mempunyai beberapa perjanjian dengan Universiti Malaya dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), kami menerima penuntut dari sana pada musim panas ini dan akan menganjurkan perkhemahan di kemudahan kami di Ankara.

“Penuntut berkenaan akan bersama kami selama sebulan dan mereka akan melakukan program latihan sebelum pulang ke Malaysia dan selepas tamat pengajian, kami akan mengambil mereka bekerja di Malaysia atau Turkiye. Perkara utama kami ialah pemindahan teknologi kepada saudara di Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Kurt ditemui di luar acara Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ’23) edisi ke-16.

Pada 2021, Turkish Aerospace membuka pejabat kejuruteraan dan reka bentuknya yang pertama di Malaysia terletak di Cyberjaya yang membantu jurutera Turkiye dan Malaysia bekerjasama dalam bidang jet tempur ringan, projek Hurjet, untuk ekosistem penerbangan Malaysia.

Mengulas berkaitan kontrak yang dimeterai antara Kementerian Pertahanan dengan Turkish Aerospace untuk pesawat tanpa pemandu (UAV) Anka-S untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semasa LIMA ’23, Kurt berkata, ia adalah untuk fasa pertama dan tender itu dijalankan selama lima tahun.

Kurt berkata, syarikat itu akan menghantar UAV kepada TUDM secara berperingkat bermula 2025.

“Alhamdulillah, kami sudah menandatangani kontrak untuk tiga Anka-S dengan komunikasi satelit dan akan ada radar khas di dalamnya, kami akan menghantarnya dalam masa dua tahun dan pada 2025 ia akan berada dalam perkhidmatan Malaysia. Kami juga menantikan fasa dua,” katanya.

Bercakap berkaitan LIMA ’23, beliau berkata, penganjuran pameran antarabangsa dwitahunan itu telah membuka pintu kepada syarikat Turkiye untuk mengembangkan perniagaan dan mereka juga bersedia untuk mengambil bahagian dalam LIMA akan datang.

© New Straits Times Press (M) Bhd