
Jet pejuang Turkiye mengeluarkan isyarat amaran elektronik bagi mengganggu pesawat-pesawat Israel yang menceroboh ruang udara Syria.
ANKARA – Jet pejuang Turkiye mengeluarkan isyarat amaran elektronik bagi mengganggu pesawat-pesawat Israel yang menceroboh ruang udara Syria.
Tindakan tersebut dibuat ketika serangan udara Israel pada Jumaat menyasarkan kawasan Hama dan Damsyik, termasuk pinggir Harasta dan bandar al-Tall.
Serangan itu mengorbankan seorang awam dan mencederakan beberapa yang lain.
Pihak Berkuasa Penyiaran Israel mengesahkan terdapat gangguan daripada pesawat Turkiye yang menghantar isyarat amaran dan mengganggu sistem komunikasi jet pejuang Israel, memaksa mereka keluar dari ruang udara Syria.
Pegawai-pegawai Turkiye dilaporkan tidak berpuas hati dengan perluasan operasi tentera Israel di Syria, yang dilihat menggugat kestabilan dan kepentingan serantau.
Dua hari sebelum serangan itu, Kementerian Luar Negeri Turkiye telah menyeru Israel agar menghentikan serangan udaranya dengan amaran bahawa tindakan tersebut membahayakan Syria.
Dalam kenyataan yang sama, Turkiye turut menggesa negara lain agar bekerjasama dalam usaha menjamin keselamatan dan kestabilan di Syria.
Beberapa sumber melaporkan bahawa sebuah helikopter tentera Israel telah mendarat secara singkat di Suwayda sebelum berlepas tanpa penjelasan lanjut.
Tentera Israel kemudian mengumumkan mereka menyasarkan sistem pertahanan udara dan infrastruktur peluru berpandu permukaan ke udara milik Syria.
Serangan paling sensitif secara politik berlaku sehari sebelumnya, berhampiran istana presiden di Damsyik.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, dalam satu kenyataan bersama menyifatkan serangan itu sebagai mesej amaran kepada kerajaan Syria.
Netanyahu menegaskan bahawa Israel tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kehadiran tentera berhampiran Damsyik selatan atau ancaman terhadap komuniti minoriti Druze di Syria.
Namun begitu, para pemimpin Druze baru-baru ini mengeluarkan video yang menyatakan kesetiaan mereka kepada negara Syria dan menolak sebarang seruan pemisahan. – Agensi