Kadar fi lesen operasi gimnasium di Kuala Lumpur ditetapkan pada RM10 bagi setiap meter persegi berbanding RM50 sebelum ini, iaitu pengurangan sebanyak 80 peratus berkuat kuasa Januari 2026.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, keputusan itu dibuat hasil libat urus bersama pemain industri termasuk Persatuan Pengusaha Gimnasium Malaysia (PPGM).
Fi lesen gim Kuala Lumpur dipotong 80 peratus

Katanya, selaras dengan penurunan kadar fi lesen itu, Kerajaan Madani menggalakkan pengusaha menyalurkan manfaat pelarasan tersebut kepada masyarakat melalui pendekatan berimpak tinggi.
“Antaranya, pengusaha digalakkan menawarkan diskaun keahlian bagi sesi senaman pada waktu awal pagi dan petang bagi menggalakkan aktiviti fizikal di luar waktu puncak serta membantu mengurangkan kesesakan trafik bandar.
“Selain itu, pengusaha juga digalakkan menyediakan kadar khas atau diskaun kepada warga emas bagi menyokong penuaan aktif dan sihat.
“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan ekosistem bandar yang lebih aktif, inklusif dan menyokong kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel lain: Bukan isu dakwah! Aduan kanopi punca DBKL bertindak di Street Dakwah -Hannah Yeoh
Mengulas lanjut, beliau berkata kes penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi terus menunjukkan trend membimbangkan khususnya di kawasan bandar yang berdepan gaya hidup kurang aktif serta kekangan masa untuk melakukan aktiviti fizikal secara konsisten.

“Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, kadar berat badan berlebihan dalam kalangan rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas mencecah 32.6 peratus, bersamaan kira-kira 6.86 juta orang.
“Tiga kadar tertinggi di seluruh negara direkodkan di Wilayah Persekutuan, iaitu Kuala Lumpur dengan 40.6 peratus, Putrajaya 35.5 peratus dan Labuan 34.8 peratus.
“Kedudukan ini menunjukkan beban kesihatan awam yang lebih tertumpu di kawasan metropolitan dan pentadbiran Persekutuan, sekali gus menuntut pendekatan dasar yang lebih responsif dan bersasar di peringkat bandar,” katanya lagi.




