Tutup pintu import cecair vape

Tutup  pintu import cecair vape

Kuala Lumpur: Perlu tutup sepenuhnya pintu import bagi kemasukan semua jenis cecair vape.

Itu pandangan tegas Pengarah Urusan Nanostix Innovations Sdn Bhd (Nanostix), Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman dalam usaha memerangi penularan dadah melalui produk rokok elektronik.

Shahabudeen Jalil berkata, kerajaan perlu mengambil langkah drastik mengharamkan kemasukan cecair vape dari luar negara dan memberi keutamaan kepada pengeluar tempatan yang berdaftar serta dipantau Kementerian Kesihatan (KKM) bersama agensi berkaitan.

“Apabila pengeluar tempatan dikenal pasti dan beroperasi dalam negara, pengawalseliaan akan lebih mudah dan berkesan. Negara kita sudah mempunyai pengilang bertaraf antarabangsa dan tidak perlu lagi bergantung kepada cecair vape dari luar negara,” katanya.

Selain itu, beliau juga menggesa pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk bertindak segera terhadap penjualan cecair vape yang mengandungi dadah yang semakin berleluasa di platform sosial media, terutamanya di Facebook Marketplace.

“Sudah banyak aduan yang dibuat, namun sehingga kini tiada tindakan berkesan diambil. MCMC perlu lebih tegas, dan kita desak denda berat dikenakan terhadap Facebook kerana gagal mengawal penjualan produk terlarang ini,” jelasnya.

Shahabudeen Jalil turut mencadangkan penubuhan jawatankuasa silang kementerian dipengerusikan Kementerian Kewangan bagi menyelaras dasar penguatkuasaan dan fiskal industri vape secara bersepadu di seluruh negara.

“Penguatkuasaan undang-undang mesti dijalankan secara konsisten di semua negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Pegawai tinggi polis tidak seharusnya mencampuri urusan kerajaan negeri dalam soal pengharaman vape,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi pihak Nanostix pula memang sentiasa bersedia untuk bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan dalam usaha memulihkan integriti industri, melindungi pengguna, dan membanteras penyalahgunaan dadah melalui vape.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top