TV3, TV9, dan Tonton dengan penuh kebanggaan telah melancarkan program baharu, Inspirasi Raudhah: Panggilan Jiwa, Penghubung Iman, dalam sebuah majlis istimewa dua hari yang lalu. Program ini terdiri daripada empat siri yang akan disiarkan sepanjang tahun, dengan tujuan utama untuk mendekati lebih ramai peminat rancangan keagamaan di TV3 dan TV9. Setiap siri akan disiarkan menerusi slot Raudhah, memberi peluang kepada penonton untuk mendalami ilmu agama sambil menikmati program yang mendidik dan memberi inspirasi.
Inspirasi Raudhah adalah sebuah program keagamaan yang dirancang untuk tahun 2025, mengusung pendekatan moden dan interaktif dalam menyampaikan mesej Islam. Berbeza dengan program Islamik lain yang biasa disiarkan di TV3, Inspirasi Raudhah ditayangkan secara eksklusif di platform digital TikTok TV3 melalui siaran langsung, menjadikannya lebih relevan dengan gaya hidup generasi muda masa kini.
Program ini akan berlangsung sepanjang tahun, dengan empat siri istimewa yang dijanjikan penuh dengan pengisian berilmiah. Menampilkan topik-topik menarik dan pandangan bernas daripada panel bertauliah, Inspirasi Raudhah berpotensi menjadi saluran dakwah baharu yang menginspirasi dan memberi ibrah kepada penonton.
Semasa acara perasmian program inspirasi raudah berlangsung, forum telah dimulakan dengan perbincangan oleh Hj. Ahmad Noor Sulaiman selaku moderator bersama dua panel yang berwibawa, Ustaz Adnin Roslan dan Ustaz Khairul Anuar Basri.
Forum ini penuh dengan perkongsian yang membuka mata dan wajar direnungi untuk manfaat bersama. Antaranya, kelahiran azan yang terinspirasi daripada mimpi sahabat Rasulullah SAW serta kepentingan memiliki identiti azan yang tersendiri dalam lantunan seruannya.
Panel juga mengupas persoalan menarik seperti sebab Rasulullah SAW tidak melaungkan azan sendiri serta hikmah besar di sebalik menjawab azan meskipun hukumnya hanya sunat muakkad.
Apakah topik menarik yang akan dibawakan dalam sesi mini forum seterusnya? Jangan lepaskan peluang untuk terus mengikuti siri Inspirasi Raudhah: Panggilan Jiwa, Penghubung Iman yang akan disiarkan secara langsung di TikTok TV3! Saksikan perbincangan penuh inspirasi dan ilmu yang bermanfaat, semuanya hanya di hujung jari anda!
Sementara itu, menurut Encik Ruzmi Kamaruddin, selaku Ketua Jabatan, Jabatan Pengisian Islam, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, seruan azan baharu di TV3 merangkumi 70 peratus sentuhan teknologi AI.
“Seruan azan versi baharu ini menggabungkan pendekatan moden dengan teknologi AI sebanyak 70 peratus, menghasilkan konsep yang unik dan futuristik.
“Visual yang dirakam menggunakan drone shots menonjolkan keindahan masjid-masjid dan menara di ASEAN, mencerminkan kemajuan Islam yang seiring dengan perkembangan teknologi, sebagai jambatan antara tradisi dan inovasi,” katanya dalam kenyataan.




