am@hmetro.com.my
Ayer Keroh: Program Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz diperluaskan lagi dengan mengembangkan pengetahuan golongan hafiz Al-Quran kepada bidang teknologi penerbangan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata untuk tujuan terbabit, seramai 622 golongan hafiz Al-Quran dipilih bagi menjalani latihan bidang penerbangan dalam usaha melahirkan generasi yang mampu menyumbang dalam pelbagai bidang profesional di peringkat global.
Beliau berkata, justeru, kerajaan akan memastikan golongan ahli Al-Quran terbabit ditempatkan di beberapa syarikat gergasi antarabangsa termasuk Airbus dan Boeing, sekali gus mengubah tanggapan mengenai masa hadapan golongan itu yang hanya tertumpu dalam bidang agama.
“Saya berbangga melihat Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT) dan Institut Kemahiran MARA (IKM) Lumut yang berjaya melahirkan ramai graduan TVET Tahfiz, bukan sahaja mahir dalam teknologi, malah Huffaz (hafiz Al-Quran).
“Kini seramai 17 huffaz sudah bekerja dalam bidang penerbangan, yang sedang dilatih seramai 622 orang dan semuanya kita yakin (akan mendapat tempat pekerjaan) kerana kita telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat kejuruteraan dalam bidang aeroangkasa,” katanya.
Beliau berkata selepas merasmikan Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KKDW 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Ibrahim Durum; Timbalan EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidirah Abu Zahar.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata di bawah Program TVET Aras Tinggi (Hi-TVET), industri aeroangkasa, Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM) juga menawarkan lepasan pelajar Hi-TVET untuk bekerja di CTRM serta mendalami ilmu di syarikat Airbus dan Boeing di eropah dan Amerika Syarikat.
Sementara itu, beliau berkata, KKDW sebagai pemegang taruh terbesar institusi TVET negara terus memperkukuhkan peranannya melalui Hi-TVET.
Katanya, pelbagai program berimpak tinggi diperkenalkan dalam sektor strategik seperti aeroangkasa, perkapalan, teknologi rel, robotik dan satelit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




